GAZA, 29 Julai – Angka korban di Gaza meningkat kepada 59,921 orang dengan 145,233 lagi cedera sejak konflik antara Hamas dan Israel meletus pada 7 Oktober 2023, menurut pihak berkuasa Gaza, hari ini.
Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, serangan Israel meragut 100 nyawa dan mencederakan 382 yang lain.
Selain korban akibat operasi ketenteraan, keadaan kemanusiaan di wilayah itu terus meruncing.
Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan, 14 penduduk Palestin termasuk beberapa kanak-kanak, meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan susulan sekatan Israel di Gaza.
Ini menjadikan jumlah kematian akibat faktor tersebut meningkat kepada 147 orang, termasuk 88 kanak-kanak sejak konflik bermula.
Pejabat Media Kerajaan Gaza yang dikendalikan Hamas memaklumkan lebih 40,000 bayi berusia bawah setahun berisiko mengalami “kematian perlahan” kerana sekatan Israel menghalang kemasukan susu formula bayi ke wilayah berkenaan.-REUTERS