fb fb fb fb fb

Komunikasi terputus, helikopter bawa 19 pelancong dan tiga kru hilang

FOTO HIASAN

MOSCOW, 31 Ogos- Sebuah helikopter yang membawa 22 orang, kebanyakannya pelancong, telah hilang di Semenanjung Kamchatka di timur jauh Rusia, kata pihak berkuasa wilayah pada Sabtu.

"Pada hari ini sekitar pukul 16.15, komunikasi terputus dengan helikopter Mi-8 yang membawa 22 orang di dalamnya, 19 penumpang dan tiga kru," kata Gabenor Kamchatka, Vladimir Solodov, dalam video yang dimuat naik di Telegram.

Pasukan penyelamat dikerahkan mencari pesawat yang hilang itu sehingga malam, dengan memberi tumpuan kepada lembah sungai yang sepatutnya dilalui oleh helikopter tersebut, menurut pihak berkuasa Rusia.

Mi-8 adalah helikopter tentera yang direka oleh Soviet dan digunakan secara meluas untuk pengangkutan di Rusia.

Helikopter yang hilang itu telah mengambil penumpang berhampiran gunung berapi purba Vachkazhets, yang terkenal dengan landskap dan gunung berapinya yang aktif.

Sumber dalam perkhidmatan kecemasan memberitahu agensi berita TASS bahawa helikopter itu hilang dari radar sejurus selepas berlepas namun kru tidak melaporkan sebarang masalah.

Perkhidmatan cuaca tempatan melaporkan bahawa terdapat penglihatan yang terhad di kawasan lapangan terbang.

Kemalangan yang melibatkan pesawat dan helikopter kerap berlaku di wilayah timur jauh Rusia, yang jarang dihuni dan sering mengalami cuaca yang buruk.

Pada bulan Ogos 2021, sebuah helikopter Mi-8 dengan 16 orang di dalamnya termasuk 13 pelancong terhempas ke dalam sebuah tasik di Kamchatka akibat penglihatan yang buruk, menyebabkan lapan orang terbunuh.

Pada bulan Julai tahun yang sama, sebuah pesawat terhempas ketika sedang mendarat di dataran itu, dengan 22 penumpang dan 6 kru di dalamnya, kesemuanya terkorban.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE