fb fb fb fb fb

Kipyegon gagal cipta sejarah larian satu batu bawah empat minit

Faith Kipyegon (kanan) beraksi dalam acara khas “Breaking4” di Stade Charlety, Paris pada 26 Jun 2025, dalam usaha mencipta sejarah sebagai wanita pertama menamatkan larian sejauh satu batu dalam masa bawah empat minit / AFP

PARIS, 27 Jun- Usaha pelari jarak sederhana terkenal Kenya, Faith Kipyegon, untuk mencipta sejarah sebagai wanita pertama menamatkan larian sejauh satu batu (1,609 meter) dalam masa kurang empat minit tidak kesampaian selepas mencatat masa 4 minit 06.42 saat dalam projek khas “Nike Breaking4” yang berlangsung pada Khamis.

Catatan tersebut sebenarnya lebih laju daripada rekod dunianya sendiri iaitu 4:07.64 yang dilakukan pada tahun 2023, namun tidak akan diiktiraf sebagai rekod rasmi dunia.

Pelari berusia 31 tahun yang juga juara dunia dan Olimpik acara 1,500 meter itu memerlukan pemotongan masa lebih tujuh saat untuk mencatat sejarah baharu, namun hanya berjaya memperbaiki rekod sedia ada sebanyak satu saat lebih sedikit.

Kipyegon dibantu pelbagai teknologi dan strategi moden, termasuk kasut larian berteknologi tinggi (super spikes), pakaian khas, serta kumpulan pelari pendahulu lelaki bertaraf dunia yang bertindak memecah angin sepanjang lebih empat pusingan trek di Stade Charlety, lokasi yang sama beliau mencipta rekod dunia 1,500m tahun lalu.

Dalam percubaan khas yang telah dirancang rapi itu, lima pelari lelaki bertindak sebagai "perisai" dengan berlari di hadapannya dalam formasi tersusun, manakala pelari pecut Amerika Syarikat dan pemenang dua gangsa Olimpik, Grant Fisher, mengiringinya di bahagian sisi.

Kipyegon masih berada dalam landasan yang baik ketika melepasi separuh jarak, namun mula ketinggalan daripada lampu pacuan berwarna yang dipasang di dalam trek dan jelas keletihan di 200 meter terakhir.

Namun, disebabkan bantuan pacer lelaki yang berlari secara tetap sepanjang perlumbaan, sama seperti percubaan Eliud Kipchoge dalam larian maraton bawah dua jam pada 2019 catatan Kipyegon tidak diiktiraf sebagai rekod dunia rasmi oleh badan induk olahraga.

Sebagai rekod, legenda Britain Roger Bannister, merupakan lelaki pertama menamatkan larian satu batu bawah empat minit pada Mei 1954, manakala Diane Leather, juga dari Britain menjadi wanita pertama menamatkan jarak itu bawah lima minit dalam bulan yang sama. Rekod dunia semasa bagi kategori lelaki pula dipegang oleh Hicham El Guerrouj dari Maghribi dengan catatan 3:43.13 yang dilakukan pada 1999.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE