SEOUL, 12 Jun– Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap Rusia dan Presidennya, Vladimir Putin; dalam satu mesej sempena Hari Kebangsaan Rusia, lapor media rasmi Korea Utara, KCNA pada Khamis.
Kenyataan itu hadir selepas pengakuan rasmi pertama Pyongyang bahawa Korea Utara telah menghantar tentera untuk berperang bagi pihak Rusia dalam konflik di Ukraine.
Pengesahan itu dibuat beberapa bulan selepas Korea Utara berdiam diri mengenai peranan tenteranya dalam peperangan tersebut, yang diperintahkan secara langsung oleh Kim Jong Un.
“Adalah hasrat yang tidak tergoyah oleh kerajaan DPRK dan saya sendiri untuk terus memelihara dan memperkukuh hubungan DPRK-Rusia,” kata Kim dalam mesej kepada Putin. DPRK merujuk kepada nama rasmi Korea Utara, Republik Demokratik Rakyat Korea.
Dalam mesej tersebut, Kim merujuk Putin sebagai "rakan seperjuangan paling dikasihi" dan memuji hubungan dua hala antara kedua-dua negara itu sebagai “satu hubungan tulen antara rakan seperjuangan”.
KCNA turut melaporkan pada Rabu bahawa Kim telah menghantar ucapan tahniah kepada Putin sempena Hari Rusia, iaitu hari kebangsaan yang menyambut kemerdekaan Rusia daripada Kesatuan Soviet pada tahun 1990.
Hubungan antara Pyongyang dan Moscow telah berkembang semakin rapat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya sejak permulaan perang di Ukraine.
Korea Utara sebelum ini juga dilaporkan telah menghantar peluru dan bantuan ketenteraan kepada Rusia, walaupun perkara itu dinafikan oleh kedua-dua pihak pada peringkat awal.-REUTERS.