fb fb fb fb fb

Dua polis Bolivia terbunuh dalam rusuhan

Bekas Presiden Bolivia, Evo Morales / Foto REUTERS

COCHABAMBA, 12 Jun- Dua pegawai polis Bolivia terbunuh dan beberapa lagi cedera dalam pertempuran pada Rabu

Pertempuran tersebut melibatkan penyokong bekas Presiden Evo Morales dan pasukan keselamatan yang sedang membersihkan sekatan jalan raya, menurut kenyataan kerajaan.

Insiden berlaku di bandar perlombongan Llallagua, barat daya Bolivia, yang menjadi salah satu pusat protes berikutan keputusan pihak berkuasa pilihan raya melarang Morales bertanding dalam pilihan raya Presiden pada 17 Ogos.

Menteri Kerajaan, Roberto Rios, menyatakan bahawa kedua-dua pegawai polis itu terbunuh akibat tembakan," dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Protes yang bermula pada 2 Jun telah berkembang menjadi kebangkitan nasional terhadap Presiden semasa, Luis Arce, berikutan pengurusan krisis ekonomi yang semakin parah, termasuk kekurangan mata wang asing dan bahan api.

“Matlamat penunjuk perasaan adalah untuk mengepung La Paz sehingga rakyat tunduk melalui kelaparan,” kata Presiden Arce pada Rabu.

Beliau turut mengumumkan operasi gabungan polis dan tentera bagi membuka semula lebuh raya utama negara, dan memberi amaran akan ada lebih banyak tindakan susulan.

Menurut laporan kerajaan, sekurang-kurangnya 15 orang awam dan dua anggota polis cedera dalam pertempuran di Llallagua sehari sebelum itu.

Lebih banyak kecederaan dilaporkan pada Rabu di sekatan jalan lain antara La Paz dan Cochabamba iaitu kawasan kubu kuat Morales.

Di Parotani, dua lagi anggota polis cedera, salah seorang akibat letupan bahan peledak, menurut Menteri Kesihatan Maria Rene Castro.

Pemimpin protes, David Veizaga, yang juga sekutu Morales, mendakwa polis dan tentera mendapat arahan untuk menggunakan senjata api, dan menggesa agar unit keselamatan ditarik balik.

Evo Morales, 65, disiasat atas tuduhan "keganasan" kerana didakwa menghasut protes jalanan. Peguam Negara mengesahkan siasatan itu pada Isnin lalu.

Kerajaan mendakwa Morales cuba mensabotaj pilihan raya dengan menyeru rakyat supaya melakukan sekatan jalan raya bagi menimbulkan kekacauan.

Walaupun Mahkamah Perlembagaan telah melarang beliau bertanding, Morales tetap cuba mendaftarkan diri sebagai calon bulan lalu tetapi gagal.

Morales kini berlindung di kubu kuatnya di Cochabamba sejak Oktober lalu untuk mengelak ditangkap atas tuduhan berkaitan hubungan seksual dengan remaja bawah umur berusia 15 tahun, yang didakwa melahirkan seorang anak ketika beliau masih menjawat jawatan presiden. Beliau menafikan semua tuduhan itu.

Morales, presiden pribumi pertama Bolivia dan antara pemimpin paling lama berkuasa di Amerika Latin, meletak jawatan pada 2019 selepas 13 tahun memerintah dalam keadaan penuh kontroversi.

Walaupun begitu, beliau masih mempunyai sokongan besar, khususnya dalam kalangan masyarakat pribumi di seluruh negara.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD