fb fb fb fb fb

Penemuan spesies baharu jelaskan asal -usul Tyrannosaurus rex

Lakaran semula kehidupan spesies dinosaur baharu yang dikenali sebagai Khankhuuluu mongoliensis, yang hidup 86 juta tahun lalu di Mongolia / Foto REUTERS

ULANBAATAR, 12 Jun- Ahli paleontologi telah mengenal pasti spesies dinosaur baharu bersaiz sederhana dari Mongolia, dinamakan Khankhuuluu mongoliensis, yang memainkan peranan penting dalam evolusi tyrannosaurus rex iaitu salah satu pemangsa darat paling hebat dalam sejarah.

Khankhuuluu, yang bermaksud Putera Naga dalam bahasa Mongolia, hidup kira-kira 86 juta tahun dahulu pada Zaman Kapur dan merupakan pendahulu langsung kepada garis keturunan tyrannosaur, termasuk T. rex yang terkenal. Ia wujud kira-kira 20 juta tahun sebelum Tyrannosaurus muncul.

“Nama ini dipilih untuk menunjukkan bahawa Khankhuuluu adalah bentuk awal — ia belum menjadi raja, hanya seorang putera,” kata Dr. Darla Zelenitsky, ahli paleontologi dari Universiti Calgary dan pengarang bersama kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature pada Rabu.

Khankhuuluu mempunyai panjang sekitar 4 meter (13 kaki) dan berat kira-kira 750 kilogram, serta berjalan dengan dua kaki. Ia mempunyai muncung panjang dan mulut penuh gigi tajam, sesuai untuk memburu mangsa kecil seperti dinosaur mirip burung (oviraptorosaur dan ornithomimosaur).

Tidak seperti T. rex yang gagah dan bertulang tebal, Khankhuuluu mempunyai tubuh lebih langsing dan gigi menyerupai pisau stik, sesuai untuk menggigit dan mengoyak mangsa, bukannya mencengkam dengan kuat seperti T. rex.

“Ia hampir seperti tyrannosaur sebenar, tapi belum cukup. Contohnya, tulang di atas moncong dan sekitar mata berbeza daripada tyrannosaur,” jelas Zelenitsky.

Fosil Khankhuuluu sebenarnya telah digali pada tahun 1970-an, tetapi hanya kini dikaji secara terperinci.

Sisa tulang termasuk bahagian tengkorak, lengan, kaki, ekor dan belakang badan telah membolehkan saintis membina semula anatomi dan memahami kedudukan evolusinya.

Kajian itu mendapati Khankhuuluu adalah pautan penting antara nenek moyang tyrannosaur yang lebih kecil dan tyrannosaur sebenar seperti Tarbosaurus dan T. rex. Ia memberikan jawapan terhadap kekeliruan lama mengenai silsilah keluarga tyrannosaur.

“Apa yang bermula sebagai penemuan spesies baharu telah membawa kepada penulisan semula sejarah keluarga tyrannosaur,” kata Jared Voris, pelajar PhD Universiti Calgary dan penulis utama kajian itu.

Kajian berkenaan juga membantah teori terdahulu yang menyatakan bahawa spesies kecil seperti Qianzhousaurus (digelar Pinocchio-rex) adalah bentuk asal tyrannosaur. Khankhuuluu menunjukkan ciri-ciri yang lebih primitif dan berbeza daripada kumpulan itu.

Menurut Voris, asal-usul tyrannosaur adalah dari Asia, sekitar 85 juta tahun lalu, spesis induk telah melintasi jambatan darat dari Siberia ke Alaska, lalu berkembang atau berevolusi menjadi spesis gergasi seperti T. rex di Amerika Utara.

Salah satu spesis kemudiannya kembali ke Asia, membentuk kumpulan seperti Pinocchio-rexes dan Tarbosaurus, sebelum sekali lagi berhijrah ke Amerika Utara — membuka jalan kepada kemunculan T. rex.

“Khankhuuluu adalah titik permulaan, tetapi masih merupakan spesis asal kepada T. rex dan hampir 20 juta tahun lebih tua” kata Zelenitsky.

Tambahnya, lebih 12 spesis tyrannosaur telah berevolusi dalam tempoh masa tersebut. Zelenitsky mengandaikan spesis itu seperti "nenek moyang" yang sangat jauh. -REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD