Seoul, 22 September – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menyatakan masih terbuka untuk mengadakan rundingan semula dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump – namun menegaskan senjata nuklear negaranya tidak akan digadaikan.
Kim dan Trump pernah bertemu sebanyak tiga kali dalam sidang kemuncak berprofil tinggi sepanjang penggal pertama Trump, tetapi rundingan di Hanoi pada 2019 gagal selepas perbalahan mengenai sejauh mana Pyongyang sanggup berkompromi terhadap simpanan senjata nuklearnya.
Dalam ucapannya di parlimen Korea Utara, Kim menegaskan tuntutan Washington supaya negaranya melucutkan senjata nuklear adalah “obsesi delusi” dan menyeru AS mengiktiraf realiti sekiranya mahu berdamai.
Beliau bagaimanapun mengulangi pendirian bahawa denuklearisasi bukan pilihan.
Kim turut berkata sekatan antarabangsa tidak melemahkan negaranya, sebaliknya menguatkan daya tahan.
Beliau menolak sebarang prospek dialog dengan Korea Selatan, sambil menyifatkan negara jiran itu sebagai musuh utama.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Korea Utara meletupkan laluan kereta api dan jalan yang menghubungkan kedua-dua negara, sekali gus memutuskan hubungan.
Trump dijangka melawat Korea Selatan bulan depan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Gyeongju. - AFP