SEOUL, 12 Jun- Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menyatakan bahawa hubungan negaranya dengan Rusia 'tidak dapat dikalahkan', dalam satu mesej kepada Presiden Vladimir Putin.
Menurut media kerajaan KCNA, kenyataan itu disuarakan Kim Jong Un pada Rabu, ditengah-tengah spekulasi mengenai kehadiran Putin ke Korea Utara.
Menjelang Hari Kebangsaan Rusia, Kim berkata pertemuannya dengan Putin pada pelancaran angkasa lepas Rusia tahun lalu, meningkatkan hubungan strategik kedua-dua negara, terjalin berabad-abad lalu.
Mesej itu timbul selepas akhbar Vedomosti Rusia pada Isnin melaporkan Putin akan melawat Korea Utara dan Vietnam dalam beberapa minggu akan datang.
Seorang pegawai di Vietnam memberitahu Reuters perjalanan Vietnam itu dirancang pada 19 dan 20 Jun, tetapi masih belum disahkan.
Kremlin berkata Rusia mahu memupuk kerjasama dengan Korea Utara "di semua kawasan" tetapi belum mengesahkan tarikh lawatan itu.
September lalu, Kim telah melawat pusat pelancaran angkasa lepas Vostochny Cosmodrome di Timur Rusia, di mana Putin berjanji untuk membantunya membina satelit.
Kim juga memuji Rusia kerana mencapai keputusan dalam usahanya untuk membina sebuah negara yang kuat walaupun dengan "menindas dan menghancurkan semua cabaran dan sekatan serta diberi tekanan oleh pasukan musuh".
Pyongyang dan Moscow terus memperkukuh hubungan diplomatik dan keselamatan termasuk menjadi tuan rumah kepada delegasi kerajaan, parlimen dan lain-lain, dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Sekumpulan pegawai Korea Utara yang menjaga keselamatan awam dijadual untuk melawat Rusia, minggu ini.
Pegawai di Washington dan Seoul telah menuduh Korea Utara menghantar senjata ke Rusia untuk menyokong perangnya terhadap Ukraine sebagai pertukaran untuk bantuan teknologi dengan program nuklear dan peluru berpandunya sendiri.- REUTERS