fb fb fb fb fb

Korea Selatan dilanda gempa bumi berukuran 4.8 magnitud

Foto Fail

SEOUL, 12 Jun- Gempa bumi berukuran 4.8 magnitud telah melanda barat daya Korea Selatan pada Selasa, meski tiada kerosakan besar dilaporkan.

Menurut Pentadbiran Meteorologi Korea, gempa bumi itu telah menjejaskan kawasan sekitar meliputi empat kilometer ke selatan daerah Buan, 205 kilometer ke selatan Seoul, pada pukul 8.26 pagi waktu tempatan.

Teks mesej amaran bencana dihantar kepada rakyat di seluruh negara, menasihatkan mereka yang berada di kawasan terjejas supaya berhati-hati dengan kemungkinan objek jatuh dan gegaran susulan.

Perdana Menteri, Han Duck-soo mengarahkan kerajaan melaksanakan langkah-langkah "teliti" sebagai tindak balas terhadap gempa bumi, dengan laporan tempatan mengatakan bunyi bising dan gegaran turut dialami di bandar Sejong, Daejeon dan Cheonan.

Penduduk Buan, Yang Seo-yeon memberitahu AFP dia mendengar bunyi kuat yang mengejutkan, semasa dia bersiap untuk pergi bekerja pada waktu pagi.

"Kedengaran seolah-olah saya berada di tengah-tengah tapak pembinaan yang besar. Kemudian, rumah saya mula bergegar," kata Yang Seo-yeon.

Tiada kerosakan ketara dilaporkan setakat pagi Rabu, menurut pihak berkuasa.

Tidak seperti negara jiran Jepun, semenanjung Korea jarang mengalami gempa bumi yang ketara.

Gempa paling kuat di negara itu setakat ini ialah gegaran 5.8 magnitud yang melanda Gyeongju, juga di tenggara, pada September 2016.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM