fb fb fb fb fb

Kim Jong-un, Menteri Pertahanan Rusia dan delegasi China adakan pertemuan di Pyongyang

(Kim Jong-un (kiri) berjabat tangan dengan Sergei Shoigu (kanan) di bangunan pejabat Parti Central Jawatankuasa
di Pyongyang, Korea Utara pada 26 Julai 2023/Foto AFP, KCNA VIA KNS)

SEOUL, 27 Julai- Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu serta delagasi China di Pyongyang, menjelang sambutan ulang tahun Perang Korea ke-70 yang disambut hari ini.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan Shoigu turut menyerahkan surat bertandatangan daripada Presiden Rusia, Vladimir Putin kepada Jong-un dalam satu 'perbincangan mesra'.

"Jong-un dan Shoigu membincangkan perkara yang menjadi perhatian bersama dalam bidang pertahanan dan keselamatan negara serta persekitaran keselamatan serantau dan antarabangsa.

"Shoigu juga dibawa melawat aset ketenteraan yang mempamerkan senjata dan peralatan jenis baharu Korea Utara," kata KCNA.

Rusia adalah sekutu bersejarah Korea Utara yang merupakan salah satu daripada segelintir negara yang menjalin hubungan persahabatan dengan Pyongyang.

Jong-un juga bertegas dalam menyokong pencerobohan Moscow ke atas Ukraine termasuk mendakwa Washington membekalkan roket dan peluru berpandu kepada Ukraine.

Sementara itu, beliau juga bertemu dengan delegasi China yang diketuai oleh ahli biro politik, Li Hongzhong.

"Hongzhong 'dengan sopan' menyerahkan surat peribadi yang dikirimkan Presiden China, Xi Jinping dalam pertemuan tersebut.

"Jong-un menyatakan China dan Korea Utara akan sentiasa berusaha untuk mengukuhkan lagi persahabatan dan perpaduan," kata KCNA.

Beijing adalah sekutu terpenting bagi ekonomi Pyongyang, hubungan mereka terjalin dalam pertumpahan darah pada Perang Korea 1950-an.

Difahamkan, delegasi Rusia dan China adalah pelawat asing pertama Pyonyang sejak penutupan pandemik 2020.

Pyongyang memperingati ulang tahun ke-70 penandatanganan gencatan senjata Perang Korea pada 27 Julai 1953, yang menamatkan permusuhan terbuka dan disambut di negara itu sebagai Hari Kemenangan. -AFP

(Kim Jong-un (depan kanan) bersama Sergei Shoigu (depan kiri) dan delegasi tentera
melawat rumah 
pameran senjata di Pyongyang, Korea Utara/
Foto AFP, KCNA VIA KNS)

Media Baharu