SEOUL, 15 November- Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengarahkan "pengeluaran besar-besaran" dron serangan bunuh diri selepas menyaksikan ujian senjata itu, lapor media rasmi.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan Kim menekankan keperluan untuk membangunkan sistem pengeluaran bersiri dengan segera. Ia direka untuk menyerang sasaran darat dan laut yang dihasilkan oleh Kompleks Teknologi Udara Tanpa Pemandu Korea Utara (UATC).
Dron bunuh diri tersebut membawa bahan letupan dan bertindak seperti peluru berpandu. Pyongyang pertama kali memperkenalkan dron itu pada Ogos, dipercayai hasil kerjasama dengan Rusia.
Ujian baru-baru ini menunjukkan dron berkenaan berjaya menyerang sasaran dengan tepat selepas terbang mengikut laluan ditetapkan.
Kim menyifatkan dron tersebut sebagai komponen serangan yang kosnya rendah dan mudah digunakan serta boleh diaplikasikan dalam pelbagai situasi. Korea Utara kini memberi tumpuan kepada pembangunan sistem tanpa pemandu dan menyepadukannya dalam strategi ketenteraan mereka.
Pakar mendapati dron-dron terbabit serupa dengan dron buatan Israel dikenali sebagai "HAROP" dan "HERO 30" serta dron Rusia "Lancet-3".
Teknologi tersebut dipercayai diperoleh melalui Rusia dengan Iran mungkin menjadi perantara.
Pada tahun 2022, Korea Utara menghantar dron melintasi sempadan yang gagal ditembak jatuh oleh tentera Korea Selatan kerana saiznya kecil.
Korea Selatan telah menubuhkan komando operasi dron bagi menangani ancaman itu. Awal tahun ini, Pyongyang menuduh Seoul melanggar kedaulatannya dengan dron yang membawa risalah propaganda.
Pada Oktober, Korea Utara meminda perlembagaannya untuk menyatakan Korea Selatan sebagai negara "bermusuhan", mencerminkan hubungan tegang sejak Kim mengisytiharkan Seoul sebagai "musuh utama".
Korea Utara terus menjalankan ujian peluru berpandu balistik melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Bulan lalu, Pyongyang memusnahkan jalan raya dan landasan kereta api yang menghubungkan mereka dengan Korea Selatan, menambah ketegangan di semenanjung itu.