fb fb fb fb fb

Ketua kesatuan desak Starmer batalkan had pembayaran bahan api

Keir Starmer / Foto Reuters

LIVERPOOL, 22 September - Ketua salah satu kesatuan sekerja terbesar di United Kingdom (UK) mendesak Perdana Menteri, Keir Starmer membatalkan keputusan kerajaan Parti Buruh yang mengehadkan pembayaran bahan api kepada warga emas dan menyifatkan langkah tersebut sebagai tidak adil kepada golongan termiskin.

Sharon Graham, Setiausaha Agung Kesatuan Unite, yang mempunyai lebih sejuta ahli di UK dan Ireland, menyatakan bahawa Starmer perlu mengakui kesilapan dan membatalkan dasar tersebut, yang bakal mengenakan ujian kemampuan terhadap pembayaran yang membantu pesara menanggung bil bahan api yang kian meningkat.

Menurut Graham, dasar itu dilihat kejam dan sepatutnya dibatalkan, sambil menambah bahawa rakyat mengundi untuk perubahan dan mereka perlu melihat perubahan itu.

Starmer mempertahankan keputusannya, mengatakan bahawa langkah tersebut terpaksa diambil selepas kerajaan Konservatif sebelumnya meninggalkan kekurangan kewangan sebanyak £22 bilion dalam kewangan awam.

Langkah ini dikatakan akan menjimatkan sekitar £1.3 bilion pada tahun 2024-25 dan £1.5 bilion pada tahun-tahun berikutnya, dana yang dikatakan penting untuk pertumbuhan ekonomi.

Namun, kritikan terhadap penghapusan elaun bahan api musim sejuk ini berpotensi menjejaskan persidangan tahunan Parti Buruh di Liverpool, yang diharapkan Starmer menjadi perayaan kembalinya parti itu ke kuasa selepas 14 tahun.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN