fb fb fb fb fb

Ketua junta tentera Niger tidak akan tunduk kepada ancaman

(Seorang penyokong memegang gambar Jeneral Abdourahamane Tiani
ketika perhimpunan menyokong junta Niger di Niamey pada 30 Julai 2023/Foto AFP)

NIAMEY, 3 Ogos- Pemimpin rampasan kuasa yang menggulingkan Presiden Niger, Mohamed Bazoum menolak sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadapnya.

Malah, Jeneral Abdourahamane Tiani menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman yang dikenakan.

Dalam ucapan yang disiarkan di televisyen pada Rabu, beliau berkata sekatan sinis dan tidak adil itu, dikenakan hanya untuk memalukan barisan pertahanan dan keselamatan Niger.

Sekali gus, menjadikan negara berkenaan tidak terkawal.

"Kami menolak sebarang campur tangan dalam hal ehwal dalaman Niger," kata Jeneral Tiani dalam ucapan yang dibuat pada malam hari kemerdekaan negara itu.

(Jeneral Abdourahamane Tiani/Foto AFP)

Beliau dalam ucapannya turut mengulangi bahawa kemerosotan keselamatan di Niger telah mendorong tentera untuk merampas kuasa.

Bazoum, 63, yang dipilih secara demokratik digulingkan junta tentera pada 26 Julai lalu, menerusi rampasan kuasa diketuai oleh kumpulan elit Pengawal Presiden.-AFP

Media Baharu