fb fb fb fb fb

Ketua Hamas gesa Blinken fokus tamatkan 'pencerobohan' Israel

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken tiba di Istanbul semalam sebagai langkah pertama lawatan baharu ke Timur Tengah yang tertumpu kepada konflik di Gaza/ AFP

PALESTIN, 6 Januari- Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh menyeru Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken memanfaatkan jelajah Timur Tengahnya untuk menamatkan “pencerobohan” Israel ketika perang masih membara di Gaza.

Diplomat tertinggi AS itu tiba di Turkiye semalam bakal melakukan lawatan ke Israel dan Tebing Barat yang diduduki serta beberapa negara Teluk.

Pegawai AS berkata bahawa Blinken dalam lawatan serantau keempatnya sejak pertempuran meletus pada 7 Oktober lalu akan menumpukan kepada mendapatkan lebih banyak bantuan ke Semenanjung Gaza yang dikepung.

Dalam mesej video yang disiarkan di saluran media sosial Hamas, Haniyeh berkata beliau berharap Blinken telah "mendapat pengajaran selama tiga bulan terakhir" di mana Israel tidak henti-henti mengebom Gaza dalam usaha untuk memusnahkan kumpulan pejuang Islam itu.

Sokongan AS untuk kempen ketenteraan Israel "telah menyebabkan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap rakyat kita di Gaza.

"Kami... berharap beliau akan lebih fokus kali ini untuk menamatkan pencerobohan" serta "pendudukan semua tanah Palestin,"
kata Haniyeh.

Haniyeh juga menggesa pemimpin serantau yang akan bertemu Blinken untuk memberitahunya bahawa kestabilan di Timur Tengah berkait rapat dengan perjuangan mereka.

Amerika Syarikat adalah ketua tentera dan penyokong politik Israel telah berulang kali enggan menyokong gesaan bagi gencatan senjata.

Bagaimanapun, Washington telah memberikan sokongannya kepada jeda kemanusiaan dan menyokong resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut lebih banyak bantuan masuk ke Gaza.

Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza susulan serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,140 orang di Israel, kebanyakannya orang awam.

Manakala dalam serangan balas Israel pula, sekurang-kurangnya 22,722 orang maut setakat ini kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI