fb fb fb fb fb

Ketua Hakim Bangladesh letak jawatan selepas terima ancaman

Ketua Hakim Mahkamah Tertinggi Bangladesh Obaidul Hassan (Kanan) meletak jawatan selepas menerima ancaman daripada penunjuk perasaan

DHAKA, 8 Ogos - Ketua Hakim Mahkamah Tertinggi Bangladesh secara prinsip telah bersetuju untuk meletakkan jawatan selepas menerima ancaman daripada penunjuk perasaan, lapor penyiar Jamuna TV.

Obaidul Hassan, yang dilantik mengetuai Mahkamah Agung tahun lepas merupakan penyokong setia bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina.

Beliau diugut oleh penunjuk perasaan yang berkumpul di luar mahkamah di ibu negara Dhaka supaya meletakkan jawatannya.

Sejak awal Julai, Bangladesh mengalami gelombang protes bermula daripada golongan pelajar yang menuntut untuk memansuhkan sistem kuota kemasukan kerja kerajaan.

Protes kemudiannya berkembang menjadi gerakan yang lebih ganas apabila menuntut Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan yang telah memerintah negara itu selama 15 tahun.

Hasina telah memerintah Bangladesh sejak 2009 dan memenangi pilihan raya keempat berturut-turut pada Januari selepas pengundian tanpa pembangkang yang tulen.

Pada 4 Ogos, protes sampai pada kemuncaknya apabila sekurang-kurangnya 91 orang terbunuh dan ratusan cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis.

Angka kematian itu merupakan yang tertinggi dalam sehari bagi sebarang protes di Bangladesh.

Kerajaan terpaksa mengambil langkah keras dengan mengisytiharkan perintah berkurung dan mengerahkan tentera untuk mengawal keadaan. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN