fb fb fb fb fb

Ketua Hak Asasi Manusia PBB rayu konflik di Gaza dihentikan

Foto Reuters

GENEVA, 16 Ogos - Pesuruhjaya Tinggi, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk menyatakan bahawa hari ini menandakan satu peristiwa yang suram bagi dunia ketika penduduk Gaza bersedih akan kehilangan 40,000 nyawa rakyat Palestin.

Turk dalam satu kenyataan pada Khamis berkata "Kebanyakan yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak. Situasi yang tidak dapat dibayangkan itu sebahagian besarnya berpunca daripada kegagalan berulang kali Angkatan Pertahanan Israel untuk mematuhi peraturan peperangan," katanya.

"Secara purata, kira-kira 130 orang terbunuh setiap hari di Gaza dalam tempoh 10 bulan lepas. Skala kemusnahan terhadap rumah, hospital, sekolah dan tempat ibadat oleh tentera Israel amat mengejutkan."

Beliau menekankan betapa pentingnya melindungi orang awam, harta benda dan infrastruktur awam, selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa (IHL).

Turk berkata pihaknya telah mendokumentasikan pelanggaran serius IHL oleh tentera Israel dan kumpulan Palestin, termasuk Hamas.

"Ketika dunia merenung dan mempertimbangkan ketidakupayaannya untuk menghalang pembunuhan beramai-ramai ini, saya menggesa semua pihak untuk bersetuju dengan gencatan senjata segera, meletakkan senjata dan menghentikan pembunuhan itu untuk selama-lamanya.

“Tawanan mesti dibebaskan. Rakyat Palestin yang ditahan sewenang-wenangnya mesti dibebaskan. Pendudukan haram Israel mesti berakhir dan penyelesaian dua negara yang dipersetujui di peringkat antarabangsa mesti menjadi kenyataan,” katanya.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN