CARACAS, 16 Ogos-Presiden Brazil dan Colombia dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis menggesa agar diadakan pilihan raya baharu di Venezuela susulan kecaman antarabangsa terhadap keputusan pilihan raya negera itu bulan lalu yang didakwa pembangkang dimanipulasi oleh Presiden Nicolas Maduro.
Kedua-dua pemimpin Amerika Selatan berbincang menerusi panggilan telefon tentang penyelesaian politik daripada krisis pasca pilihan raya Venezuela di samping menggesa Maduro untuk mengadakan pilihan raya baharu.
"Sekiranya Maduro prihatin, dia boleh merayu kepada rakyat Venezuela dengan mengadakan pilihan raya semula", kata Presiden Luiz Inacio Lula da Silva kepada stesen radio Brazil.
Menurut Lula, pilihan raya baharu itu nanti perlu menentapkan kriteria penyertaan bagi setiap calon bertanding selain membenarkan penyertaan pemerhati pilihan raya dari seluruh dunia.
Presiden Colombia pula menggesa agar semua sekatan yang dikenakan terhadap Venezuela ditarik balik menerusi X.
Dia turut mencadangkan agar pilihan raya baharu yang bebas selain kewujudan kerajaan peralihan.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pula berkata dia menyokong langkah untuk mengadakan pilihan raya baharu di Venezuela.
Namun langkah berkenaan ditentang oleh ketua pembangkang Venezuela, Maria Corina Machado.
Machado melihat tindakan mengadakan pilihan raya baharu di negara tersebut sebagai tidak menghormati rakyat Venezuela yang telah mengundi dan memilih pembangkang bagi memenangi pilihan raya berkenaan.
Machado dalam satu sidang media maya berkata ia sesuatu yang sangat menyedihkan apabila rakyat Venezuela terpaksa mengundi semula selepas melakukannya sebelum ini pada pengundian yang penuh dengan penipuan.
Majlis Pilihan Raya Venezuela (CNE) pada 29 Julai lepas mengisytiharkan kemenangan terhadap Presiden Nicolas Maduro bagi penggal ketiga selepas menang dengan 52 peratus undi tanpa memberikan butiran lanjut keputusan berkenaan.
Pihak pembangkang pula berkata keputusan undian di setiap stesen mengundi menunjukkan calon mereka, Edmundo Gonzalez Urrutia, seorang bekas pesara diplomat menewaskan Maduro dengan jumlah yang besar.
Kemenangan Maduro itu bagaimanapun ditolak oleh Amerika Syarikat (AS), Kesatuan eropah (EU) dan beberapa negara Amerika Selatan.-AFP