HONG KONG, 24 November – Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee menyatakan sokongan penuh terhadap dasar diplomatik China berhubung pertikaian terbaru dengan Jepun, sambil menegaskan bahawa pentadbirannya akan memantau keadaan dengan teliti dan bertindak sewajarnya.
Kenyataan itu merupakan kali pertama pemimpin Hong Kong memberi komen terbuka mengenai isu yang telah menegangkan hubungan China–Jepun selama lebih dua minggu.
Pertikaian tercetus selepas Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkata di Parlimen pada 7 November bahawa serangan hipotetikal China terhadap Taiwan, yang diperintah secara demokratik boleh mencetuskan tindak balas ketenteraan dari Tokyo.
“Kenyataan yang sangat salah ini telah merosakkan suasana pertukaran antara China dan Jepun,” kata Lee pada sidang media.
“Ia menimbulkan keraguan terhadap keberkesanan banyak bentuk kerjasama,” tambah beliau.
Media Jepun, Kyodo, sebelum ini melaporkan bahawa Hong Kong telah menghentikan urusan pertukaran dengan Konsulat Jepun.
Namun, Lee tidak mengesahkan perkara itu, hanya menegaskan bahawa segala keputusan Hong Kong mesti 'selaras dengan maruah negara dan kepentingan rakyat Hong Kong'.
Data pelancongan Jepun menunjukkan 2.68 juta penduduk Hong Kong melawat Jepun tahun lalu, kira-kira 7.3 peratus daripada keseluruhan pelancong asing.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa syarikat penerbangan Hong Kong termasuk Cathay Pacific menawarkan pilihan penjadualan semula kepada penumpang yang merancang ke Jepun berikutan ketegangan diplomatik tersebut. -REUTERS