DAK LAK, 24 November - Pihak berkuasa Vietnam memulakan usaha pemulihan di bahagian tengah negara itu yang dilanda banjir besar dan tanah runtuh dengan angka kematian meningkat kepada 91, manakala 11 lagi masih hilang.
Rakaman disiarkan media kerajaan, VTV menunjukkan sebuah helikopter menghantar bekalan kecemasan ke kawasan yang terjejas di wilayah Dak Lak pada Ahad (23 November).
Penduduk mula kembali ke rumah masing-masing yang dipenuhi sisa bencana dengan mereka dilihat mengambil barang-barang dan membuang guni beras yang rosak akibat banjir.
Di wilayah Khanh Hoa, orang ramai beratur untuk mendapatkan keperluan seperti makanan, air botol dan pakaian sumbangan.
Purata taburan hujan melebihi 1,900 milimeter direkodkan di beberapa bahagian Vietnam sepanjang minggu lalu.
Kawasan itu merupakan pusat pengeluaran kopi utama dan lokasi pantai terkenal, namun turut terdedah kepada ribut dan banjir.
Kerajaan menganggarkan kerugian ekonomi kira-kira 8.98 trilion Dong (AS$341 juta).
"Lebih 235,000 buah rumah ditenggelami air dan hampir 80,000 hektar tanaman rosak," menurut agensi bencana Vietnam. -REUTERS