fb fb fb fb fb

Ketegangan Israel-Iran lonjak harga minyak dunia

Foto Reuters

IRAN, 16 Jun - Harga minyak global mencatatkan turun naik ketara pada Isnin berikutan serangan balas terbaharu antara Israel dan Iran sepanjang hujung minggu, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa konflik tersebut berisiko merebak ke seluruh rantau dan mengganggu eksport minyak dari Asia Barat.

Niaga hadapan minyak mentah Brent LCOc1 dilaporkan meningkat sebanyak 64 sen, atau 0.86 peratus kepada AS$74.87 setong pada pukul 5.07 pagi GMT, manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) CLc1 Amerika Syarikat naik 76 sen atau 1.04 peratus kepada AS$73.74 setong.

Sebelum itu, kedua-dua penanda aras berkenaan sempat melonjak lebih AS$4 setong pada awal sesi dagangan, namun turut menyusut ke paras negatif buat seketika.

Pada Jumaat lalu, kedua-duanya ditutup 7 peratus lebih tinggi selepas mencatat lonjakan melebihi 13 peratus, kenaikan harian tertinggi sejak Januari lalu.

Situasi semasa itu turut mencetuskan kegusaran baharu terhadap potensi gangguan di Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menjadi nadi penting dalam bekalan tenaga global.

Sekitar satu perlima daripada jumlah keseluruhan penggunaan minyak dunia, bersamaan 18 hingga 19 juta tong sehari termasuk minyak mentah, kondensat dan bahan api, dilaporkan melalui selat berkenaan yang menghubungkan pengeluar utama minyak di Teluk Arab dengan pasaran antarabangsa.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN