(Suspek meninggalkan Ibu Pejabat Polis Athens di Athens, Greece/AFP)
ATHENS, 14 Ogos- Seramai 35 orang lagi ditahan untuk siasatan berhubung kematian seorang penyokong bola sepak kelab AEK Athens yang ditikam sebelum perlawanan Liga Juara-Juara, di Greece.
Ia menjadikan keseluruhan tangkapan suspek yang ditahan ketika ini adalah 105 orang, menurut pendakwa raya negara itu.
Seramai 102 daripadanya adalah warga Croatia yang didakwa penyokong Ultras Dinamo Zagreb digelar "Bad Blue Boys" (BBB).
Mereka dilaporkan tiba di sini sehari sebelum perlawanan antara kelab Dinamo Zagreb dan AEK Athens yang dijadualkan berlangsung pada Selasa lalu.
Sementara itu, tiga lagi suspek adalah dua orang tempatan dan seorang warga Albania, manakala seorang lagi warga tempatan sedang diburu polis.
Kesemua suspek bagaimanapun menafikan terlibat dengan kematian Michalis Katsouris, 29, yang ditikam dalam pergaduhan besar-besaran di jalanan di sini pada Isnin lalu.
Berikutan kematiannya, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) menangguhkan kelayakan pusingan ketiga antara kedua-dua pasukan itu sehingga 19 Ogos depan.
Selain tuduhan bunuh, suspek juga berdepan pertuduhan terlibat organisasi jenayah dan pemilikan senjata api secara haram. -AFP
(Seorang penyokong yang cedera meninggalkan Ibu Pejabat Polis Athens
di Athens, Greece/AFP)