PORT-AU-PRINCE, 3 Oktober- Jangkitan taun baharu dikesan di Haiti dalam tempoh lebih tiga tahun selepas wabak itu membunuh 10,000 orang di negara Caribbean berkenaan.
Kementerian Kesihatannya dalam satu kenyataan, berkata kes yang disahkan dikesan di Port-Au-Prince, manakala terdapat beberapa kes yang disyaki di kejiranan Cite Soleil.
Pada sidang akhbar petang Ahad, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Awam Haiti, Laure Adrien, berkata bahawa tujuh atau lapan orang telah meninggal dunia.
“Kebanyakan mangsa meninggal dunia dalam komuniti dan tidak dapat pergi ke hospital,” katanya.
(Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Awam dan Penduduk (MSPP), Laure Adrien
semasa sidang akhbar di Port-Au-Prince, Haiti/ REUTERS)
Kementerian itu turut menambah bahawa pelbagai langkah sedang diambil untuk mengehadkan penyebaran virus, termasuk siasatan ke atas kes berpotensi dan pada masa sama menyeru rakyat untuk mengamalkan langkah penjagaan kebersihan yang lebih tinggi.
Taun diperkenalkan oleh pekerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas gempa bumi Haiti 2010, di mana taun terus membunuh kira-kira 10,000 orang.
Jangkitan pertama virus dikesan di sekitar Sungai Artibonite, di mana pasukan pengaman PBB membuang najis, sebelum merebak ke seluruh negara.
Hanya pada Ogos 2016, PBB secara rasmi mengiktiraf peranannya dalam permulaan wabak itu.
Sebelum ini, kes positif terakhir yang dikesan adalah pada 2019 dan pada Februari 2022 Kementerian Kesihatan Awam mengadakan upacara menandakan penghapusan taun secara rasmi di negara itu.
Perdana Menteri, Ariel Henry, yang berkhidmat sebagai pemangku ketua negara sejak pembunuhan presidennya pada Julai 2021, berkata pada majlis itu: "4 Februari ini adalah contoh komitmen politik dan sivik, yang akan kekal sebagai tarikh yang tidak dapat dilupakan dalam sejarah kesihatan awam. - AFP