(Pekerja dilihat memakai pakaian pelindung diri (PPE) berhampiran kawasan yang dikenakan perintah berkurung
selepas pengesanan kes baharu COVID-19 di Shanghai pada 14 Mac 2022/AFP)
BEIJING, 15 Mac- Hampir 30 juta penduduk di seluruh China dikenakan perintah berkurung susulan peningkatan ketara kes positif harian memaksa ujian besar-besaran saringan COVID-19 diadakan semula.
Situasi itu turut menyaksikan pegawai kesihatan dengan sut hazmat menjalankan operasi pada skala yang tidak pernah berlaku sejak wabak mula menular.
China melaporkan 5,280 kes baharu pada Selasa, lebih dua kali ganda daripada jumlah hari sebelumnya apabila varian Omicron yang sangat mudah merebak menular di seluruh negara yang menetapkan sasaran 'sifar-COVID'.
Trend jangkitan terbaru itu dilihat menyukarkan lagi usaha merealisasikan sasaran sifar COVID, apabila pihak berkuasa perlu mengenakan sekatan pergerakan atau perintah berkurung lebih ketat.
Sekurang-kurangnya 13 bandar di seluruh negara hari ini telah ditutup sepenuhnya, sementara beberapa bandar lain dikenakan perintah berkurung separa.
Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, paling teruk terjejas di wilayah timur Jilin, menyaksikan lebih 3,000 kes baharu pada Selasa.
Penduduk di beberapa bandar termasuk di ibu negara wilayah Changchun yang dihuni kira-kira 9 juta penduduk telah dikenakan arahan tinggal di rumah.
Shenzen, bandar hub teknologi kepada 17.5 juta penduduk, sudah tiga hari dikenakan perintah berkurung. Kebanyakan kilang ditutup dan pasar raya pula kosong. Bandar terbesar Shanghai pula berada bawah sekatan, cuma belum diarah tutup sepenuhnya.
Dilaporkan keadaan ketika pandemik mula menular pada 2019 berlaku apabila banyak kawasan kejiranan ditutup, berlaku pembelian panik dan kawalan pihak polis, situasi yang ketika ini tidak berlaku dikebanyakan negara luar.
(Petugas kesihatan melakukan ujian swab COVID-19 terhadap
seorang penduduk di Beijing pada 15 Mac 2022/AFP)
Hari ini adalah hari ke-6 berturut-turut menyaksikan lebih 1,000 kes positif baharu direkodkan di negara ekonomi ke-2 terbesar di dunia dengan pakar menjangka pertumbuhan akan berkurangan disebabkan penularan virus maut itu.
Penularan semasa COVID-19 dan pembaharuan sekatan terutama perintah berkurung di Shenzhen, memberi kesan besar kepada pengguna serta menyebabkan gangguna bekalan dalam tempoh terdekat, kata Tommy Wu dari Oxford Economics dalam taklimatnya.
Tambah Wu, ia akan menjadi cabaran kepada China untuk mencapai sasaran pertumbuhan KDNK rasmi negara pada tahun ini sekitar 5.5%.
Pasaran Saham Hong Kong juga merudum lebih 3%, meneruskan prestasi buruk pada hari sebelumnya.
Puluhan penerbangan domestik di lapangan terbang Beijing dan Shanghai turut dibatalkan pada pagi Selasa, menurut data pemantau penerbangan.
Sementara itu, penularan wabak di Syarikat Kumpulan Volkswagen di Changchun, bandar Jilin turut menyebabkan 3 kawasan ditutup semalam untuk tempoh sekurang-kurangnya selama tiga hari, menurut jurucakap kerajaan. -AFP