fb fb fb fb fb

Kes HFMD di Jepun catat peningkatan

FOTO REUTERS

TOKYO, 17 Julai- Bilangan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Jepun meningkat pada kadar rekod, mencecah paras tertinggi yang dilihat dalam sedekad lalu, menurut data dari Institut Penyakit Berjangkit (NIID), seperti yang dilaporkan oleh Xinhua.

Laporan terbaru NIID menyatakan bahawa 35,960 kes dilaporkan daripada kira-kira 3,000 institusi perubatan pemantauan di seluruh negara sepanjang minggu menjelang 7 Julai.

Purata 11.46 kes bagi setiap institusi perubatan dilaporkan sepanjang minggu, kekal melebihi paras amaran lima kes bagi setiap institusi di 38 wilayah.

Dalam tempoh yang dilaporkan, wilayah Jepun tengah, Mie merekodkan jumlah kes tertinggi bagi setiap institusi iaitu 25.98, diikuti oleh Saitama dengan 18.8.

HFMD, jangkitan virus yang menyebabkan ruam seperti lepuh pada tangan, kaki dan dalam mulut, terutamanya memberi kesan kepada kanak-kanak di bawah umur lima tahun, yang menyumbang kira-kira 90 peratus daripada kes.

Gejala termasuk demam, hilang selera makan, rasa tidak sihat, ruam kulit dan sakit tekak. Luka mulut dan ulser pada lidah, gusi dan bahagian dalam pipi juga boleh menunjukkan jangkitan HFMD.

Kementerian kesihatan Jepun menggesa meningkatkan langkah kebersihan untuk membendung penularan penyakit itu.

Seorang pegawai kementerian kesihatan menasihatkan orang ramai untuk mencuci tangan dengan sabun dan mengelakkan berkongsi tuala, sambil menambah bahawa pembasmian kuman berasaskan alkohol kurang berkesan terhadap HFMD, yang biasanya merebak pada musim panas.- BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI