MORWELL, 30 Jun- Juri di Mahkamah Morwell, Australia mula bersidang pada Isnin bagi menentukan nasib seorang wanita, Erin Patterson yang berdepan tiga tuduhan membunuh tiga ahli keluarga bekas suaminya.
Patterson didakwa menggunakan hidangan beef Wellington yang dicampur cendawan jenis "death cap", antara yang paling beracun di dunia.
Wanita berusia 50 tahun itu juga turut didakwa satu lagi pertuduhan iaitu cubaan membunuh melibatkan insiden makan tengah hari pada Julai 2023 di kediamannya di Leongatha, negeri Victoria.
Mangsa terdiri daripada ibu dan bapa mentuanya, Gail dan Don Patterson, serta ibu saudara bekas suami, Heather Wilkinson.
Suami Heather, Pastor Ian Wilkinson satu-satunya yang terselamat selepas menerima rawatan intensif.
Hakim Christopher Beale mengingatkan juri supaya mencapai keputusan secara sebulat suara dan hanya berdasarkan bukti yang kukuh, tanpa sebarang andaian.
Beliau turut menekankan agar juri menilai sama ada kenyataan tertuduh boleh dipercayai atau sebaliknya.
Pihak pendakwaan mendakwa Patterson sengaja memasukkan cendawan beracun ke dalam hidangan yang dimasak secara individu untuk setiap tetamu dan kemudian berpura-pura sakit bagi mengelakkan kecurigaan.
Patterson menafikan semua pertuduhan dan peguam belanya menyifatkan kejadian itu sebagai “kemalangan ngeri”.
Mereka berhujah bahawa Patterson turut makan hidangan sama, tetapi tidak jatuh sakit kerana mengalami gangguan pemakanan dan muntah selepas makan.
12 juri akan diasingkan sepanjang proses perbincangan.
Jika didapati bersalah, Patterson berdepan hukuman penjara seumur hidup.- AFP