(10 gerabak tergelincir dari landasan di selatan Pakistan/FOTO REUTERS)
PAKISTAN, 7 Ogos - Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dan 80 lagi cedera apabila sebuah kereta api tergelincir di selatan Pakistan, lapor penyiar tempatan Geo yang memetik seorang pegawai daerah.
Kejadian itu melibatkan kira-kira 10 gerabak Hazara Express terbalik berhampiran stesen kereta api Sahara di Nawabshah kira-kira 275 kilometer dari bandar terbesar Karachi.
Geo melaporkan terdapat beberapa orang masih terperangkap di dalam kereta api tersebut manakala penumpang lain telah dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.
Perkhidmatan kereta api ke daerah pedalaman Sindh telah digantung.
Sementara itu, pasukan penyelamat cuba membawa keluar mereka yang terperangkap di tengah-tengah gerabak yang terbalik itu.
Kemalangan pada sistem kereta api kuno Pakistan bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Pada 2021, dua kereta api dalam perjalanan di wilayah Sindh berlanggar, telah membunuh sekurang-kurangnya 40 orang dan mencederakan lagi berpuluh-puluh penumpang.
(Pasukan penyelamat cuba menyelamatkan penumpang yang terperangkap/FOTO REUTERS)