WASHINGTON, 20 Jun-Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata bahawa beliau akan membuat keputusan sama ada akan melancarkan serangan terhadap Iran atau tidak dalam tempoh dua minggu.
"Berdasarkan kemungkinan rundingan yang mungkin atau mungkin tidak berlaku dengan Iran dalam masa terdekat, saya akan membuat keputusan sama ada untuk bertindak atau tidak dalam dua minggu akan datang," kata Trump menerusi kenyataan yang dibacakan oleh jurucakap White House, Karoline Leavitt.
Pengumuman itu dibuat ketika Trump berdepan perpecahan dalam kalangan penyokong Republikan mengenai pembabitan negara itu kempen ketenteraan Israel terhadap Iran.
Tokoh berpengaruh seperti Tucker Carlson, penasihat Trump Steve Bannon, Senator Rand Paul dan Ahli Kongres Marjorie Taylor Greene menentang penglibatan ketenteraan secara langsung.
Mereka memberi amaran bahawa tindakan berkenaan akan menyebabkan Trump terjebak dalam satu lagi konflik luar negara sesuatu yang ditentang keras beliau semasa kempen pilihan raya presiden dahulu.
Namun, kumpulan Republikan berhaluan keras seperti Senator Ted Cruz dan Lindsey Graham terus mendesak agar tindakan ketenteraan diambil.
White House dalam pada itu menegaskan bahawa keutamaan utama Trump adalah memastikan Iran tidak memperoleh senjata nuklear.
“Tiada siapa sepatutnya terkejut dengan pendirian presiden bahawa Iran sama sekali tidak boleh memiliki senjata nuklear. Beliau sudah nyatakan pendirian ini dengan jelas sejak bertahun-tahun,” kata Leavitt.
Beliau menambah bahawa Iran sudah memiliki semua komponen yang diperlukan untuk menghasilkan senjata nuklear dan hanya menunggu keputusan daripada pemimpin tertinggi negara itu.
Proses pembinaan senjata tersebut dikatakan hanya mengambil masa beberapa minggu.
Menurutnya, jika Iran bertindak demikian, ia akan menjadi ancaman bukan sahaja kepada Israel, tetapi juga kepada Amerika Syarikat dan seluruh dunia.
Leavitt berkata perkara ini turut mendapat persetujuan antarabangsa termasuk daripada negara seperti Rusia bahawa Iran tidak sepatutnya dan tidak boleh memiliki senjata nuklear.
Iran bagaimanapun menafikan bahawa mereka berniat untuk membangunkan senjata nuklear.
Leavitt turut mengesahkan laporan bahawa utusan khas Trump ke Timur Tengah, Steve Witkoff, telah mengadakan perbualan dengan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, selepas Israel memulakan serangan ke atas Iran pada Jumaat lalu.
“Mengenai komunikasi antara Amerika Syarikat dan Iran, saya boleh sahkan bahawa komunikasi itu masih berterusan,” katanya menjawab soalan wartawan.
Beliau menjelaskan bahawa sejak April lalu, Amerika Syarikat telah mengadakan enam pusingan rundingan dengan Iran, termasuk secara langsung dan tidak langsung.
Rundingan yang dijadualkan berlangsung pada Ahad lalu terpaksa ditangguhkan selepas Israel menyerang kemudahan nuklear, tapak ketenteraan, saintis nuklear dan pegawai kanan Iran pada 13 Jun. Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan balas terhadap Israel.
Pihak berkuasa Israel memaklumkan sekurang-kurangnya 25 orang maut dan ratusan lagi cedera akibat serangan peluru berpandu Iran.
Sementara itu, media Iran melaporkan sekurang-kurangnya 639 orang terbunuh dan lebih 1,300 cedera dalam serangan Israel.-REUTERS.