fb fb fb fb fb

Terowong rahsia seludup dadah di sempadan Mexico-AS, ditemukan

Pihak berkuasa Mexico menemukan laluan rahsia seludup dadah sepanjang 600 meter dengan kedalaman 13.5 meter di sempadan Mexico-Amerika Syarikat/ REUTERS

TIJUANA, 20 Jun- Pihak berkuasa Mexico menemukan terowong rahsia yang menghubungkan Mexico dan Amerika Syarikat secara bawah tanah, di tengah-tengah tekanan berterusan dari Washington untuk membendung aktiviti penyeludupan dadah, khususnya dadah sintetik jenis fentanyl yang berbahaya.

Sekretariat Keselamatan dan Perlindungan Warganegara dalam satu kenyataan memaklumkan, terowong berkenaan terletak sedalam 13.5 meter dan memiliki panjang sekitar 600 meter.

Struktur itu menghubungkan bandar sempadan Tijuana, Mexico dengan San Diego, Amerika Syarikat.

Di dalam terowong tersebut, pihak berkuasa turut menemukan "sebungkus methamphetamine serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk mengangkut barangan (berkaitan dadah)."

Sejak sekian lama, kartel dadah Mexico dikesan menggunakan terowong seperti itu bagi tujuan penyeludupan dadah, migran dan barangan terlarang lain. Terowong seperti itu dikenali sebagai 'narco-tunnel'.

Sesetengah daripadanya dibina dengan amat canggih, lengkap dengan sistem pengudaraan, landasan kereta api mini, gerabak kecil serta pencahayaan elektrik.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI