GENEVA, 21 November - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat memberi amaran bahawa keperluan perubatan di Gaza masih jauh melebihi perkhidmatan yang tersedia meskipun terdapat genjatan senjata yang rapuh, berikutan penafian akses, kekurangan bekalan serta laluan yang disekat lantas menghalang rawatan menyelamatkan nyawa, lapor Anadolu Ajansi.
Wakil WHO di wilayah Palestin yang diduduki Richard Peeperkorn memberitahu pemberita di Geneva bahawa “keperluan masih sangat besar berbanding kemampuan perkhidmatan kesihatan,” sambil menyatakan hanya separuh daripada 36 hospital di Gaza beroperasi dengan sebahagian daripada kapasitinya.
Hanya 82 daripada 194 pusat kesihatan utama, iaitu sekitar 41 peratus, serta 10 hospital medan kini beroperasi.
Beliau berkata tujuh hospital terletak di luar garis genjatan senjata, termasuk dua di Khan Younis, dua di utara Gaza dan tiga di Rafah.
Dua daripadanya, Hospital Beit Hanoun dan Hospital Khusus Kuwait, telah musnah, manakala lima lagi tidak dapat diakses di luar garisan kuning, kata Peeperkorn.
Sejak jeda pertempuran, 26 pusat perkhidmatan kesihatan telah dibuka semula dan lapan pusat baharu diwujudkan. WHO turut membaiki unit kritikal termasuk ICU Pediatrik dan Neonatal di Hospital Rantisi sebagai sebahagian usaha memperluas rawatan neonatal.
Namun kawasan utara kekal sangat kurang mendapat perkhidmatan.
“Tiada hospital yang berfungsi di utara Gaza, tempat sekurang-kurangnya 20,000 orang berada,” kata jurucakap itu.
Beliau berkata pasukan WHO dinafikan akses sekali lagi pada Jumaat ketika cuba memasuki Hospital Kamal Adwan bagi menubuhkan pusat kesihatan utama baharu.
Di Hospital Shifa, Peeperkorn berkata WHO sedang memasang loji penyahgaraman untuk menyokong satu-satunya unit hemodialisis di wilayah itu. Unit berkenaan kini merawat 165 pesakit menggunakan 32 mesin, empat daripadanya rosak, dengan permintaan dijangka meningkat kepada 300.
Sekatan akses terus menjejaskan rawatan, termasuk di Hospital Gaza Eropah, di mana WHO tidak dapat mengambil dan mengagihkan semula peralatan kardiologi yang sangat diperlukan, menurut jurucakap itu.
Peeperkorn turut mengetengahkan kemajuan dalam rawatan kekurangan zat makanan dengan menyatakan bahawa WHO membantu memulihkan operasi di Hospital Al-Kheir di Khan Younis serta membuka pusat pemantapan dengan 20 katil baharu.
“Terdapat 825 kemasukan ke pusat pemantapan SAM sejak Januari 2025, dengan sifar kematian direkodkan sejak pertengahan Oktober,” katanya.
“Menurut Kementerian Kesihatan, 343 daripada 622 item ubat penting, iaitu 55 peratus, kini berada pada tahap stok sifar,” katanya mengenai kekurangan bekalan, sambil menyeru semua lintasan dan laluan dibuka.
Sejak genjatan senjata, WHO telah membawa masuk 2,050 palet bekalan, namun pergerakan dalaman terjejas akibat sekatan jalan dan kebimbangan keselamatan.
Kempen imunisasi selama 11 hari telah memvaksin lebih 13,700 kanak-kanak, menurut WHO, dengan pusingan tambahan dirancang. Pemeriksaan semasa kempen mengenal pasti 508 kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan akut.
Peeperkorn turut menggesa pemindahan perubatan dipertingkatkan dengan menyatakan lebih 16,500 pesakit masih memerlukan pemindahan ke luar Semenanjung Gaza, selain peningkatan sokongan antarabangsa serta pembukaan koridor pemindahan, khususnya ke Tebing Barat.-BERNAMA