fb fb fb fb fb

Israel bunuh dua remaja Palestin dalam insiden di Kufr Aqab, Baitulmaqdis

Foto AFP

KUFR AQAB, 21 November – Dua remaja Palestin dilaporkan meninggal dunia selepas terkena tembakan dalam insiden di kawasan Kufr Aqab, pinggir Baitulmaqdis, menurut Pihak Berkuasa Palestin.

Kementerian Kesihatan Palestin mengenal pasti mereka sebagai Amr Khaled Ahmed Al-Marbou, 18, dan Sami Ibrahim Sami Mashayekh, 16.

Polis Israel memaklumkan anggotanya melepaskan tembakan ketika operasi malam di kawasan tersebut, selepas mendakwa empat individu menimbulkan ancaman segera semasa berlakunya pergeseran yang melibatkan balingan batu dan mercun.

Palang Merah Palestin turut mengesahkan dua individu dibawa ke hospital dengan kecederaan akibat tembakan.

Ratusan penduduk, kebanyakannya golongan muda, menghadiri upacara pengebumian kedua-dua remaja berkenaan pada Jumaat.

Saksi mendakwa insiden berlaku ketika berlaku ketegangan antara pasukan Israel dan penduduk tempatan.

Kufr Aqab terletak dalam kawasan timur Baitulmaqdis, yang dianeksasi Israel, namun dipisahkan daripada pusat bandar oleh tembok penghadang, menyebabkan bandar itu tidak menerima perkhidmatan penuh daripada mana-mana pihak berkuasa tempatan, sama ada Israel mahupun pihak berkuasa Palestin di Ramallah dan Al-Bireh.

Ketegangan di Tebing Barat terus meningkat sejak konflik di Gaza tercetus pada Oktober 2023.-AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH