fb fb fb fb fb

Kembar pramatang dunia sambut hari lahir pertama

(Foto Guinness World Records)

OTTAWA, 9 Mac- Bayi kembar paling pramatang di dunia, Adiah dan Adrial Nadarajah yang dilahirkan di Kanada menyambut ulang tahun kelahiran yang pertama, baru-baru ini.

Bayi kembar lelaki dan perempuan itu lahir hampir empat bulan lebih awal sebelum tarikh sepatutnya, iaitu pada usia kandungan 22 minggu dengan berat hanya 330 gram dan 420 gram, sekali gus turut menjadi kembar paling ringan semasa dilahirkan.

Adiah dan Adrial mencipta Rekod Dunia Guinness sebagai bayi kembar paling pramatang yang masih hidup selepas berumur setahun pada 4 Mac lalu.

Mereka berjaya memecahkan satu hari rekod sebelum ini yang dicatatkan oleh bayi kembar pramatang dari Amerika Syarikat pada 2018.

Menurut ibu bapa pasangan kembar itu, mereka diberitahu oleh doktor bahawa harapan kedua-dua anaknya hidup adalah tipis selepas lahir dalam keadaan pramatang.

“Apabila saya bersalin, kedua bayi saya dinafikan hak untuk hidup dan hampir dibiarkan untuk mati,” kata ibu kembar itu, Shakina Rajendram.

Kebanyakan hospital berdepan kesukaran untuk menyelamatkan bayi yang dilahirkan kurang daripada 24 hingga 26 minggu.

Bayi kembar itu digambarkan sebagai sangat kurus dengan berkulit nipis seakan lutsinar semasa dilahirkan.

Selepas enam bulan berada di hospital yang menyaksikan doktor menangani beberapa komplikasi termasuk pendarahan otak dan sepsis, bayi kembar itu akhirnya dibenarkan pulang ke rumah.

Sejak itu, berat badan Adiah bertambah sehingga 18 kali ganda.

Adrial pula mengalami masalah pernafasan dan jangkitan sehingga terpaksa kembali mendapatkan rawatan di hospital sebanyak dua kali, namun dia masih membesar dengan baik. -AFP

(Foto Guinness World Records)

Media Baharu