GAZA, 25 Julai – Angka korban di Gaza terus meningkat kepada 59,587 orang, manakala 143,498 lagi cedera sejak konflik antara Hamas dan Israel meletus pada Oktober 2023.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza pada Khamis, dalam tempoh 24 jam terakhir sahaja, operasi ketenteraan Israel meragut 89 nyawa dan mencederakan 453 orang yang lain.
Daripada jumlah itu, 23 yang terkorban merupakan individu yang sedang menerima bantuan kemanusiaan.
Sementara itu, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (OCHA) menerusi laporan terbarunya menyatakan bahawa bantuan yang disalurkan ke Gaza masih jauh daripada mencukupi, walaupun bekalan seperti tepung gandum telah mula memasuki wilayah itu melalui lintasan Kerem Shalom dan Erez.
Laporan itu turut menyebut bahawa penduduk Gaza kini berdepan dengan ancaman kematian, kebuluran, pengusiran paksa, dan trauma psikologi yang mendalam.
Agensi-agensi kemanusiaan turut memberi amaran mengenai peningkatan mendadak kes kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak.
Dalam dua minggu pertama Julai, hampir 5,000 daripada 56,000 kanak-kanak bawah lima tahun yang disaring di Gaza City, Deir al-Balah dan Khan Younis didapati mengalami malnutrisi akut, peningkatan mendadak daripada 2.4 peratus pada Februari kepada 9 peratus.
Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) melaporkan bahawa satu perlima daripada kanak-kanak di Gaza City kini mengalami masalah kekurangan zat makanan.
Usaha bantuan kemanusiaan terus berdepan sekatan besar. Daripada 16 misi bantuan yang dikoordinasikan pada Rabu, hanya lapan yang dibenarkan diteruskan. Tambahan pula, usaha mengambil bekalan perubatan penting turut ditolak.
PBB kini menggesa pelaksanaan gencatan senjata segera dan pembukaan koridor kemanusiaan bagi mengelakkan krisis kemanusiaan di Gaza daripada menjadi lebih teruk. - REUTERS