GENEVA,15 Mei- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan pengurangan hampir separuh pasukan pengurusannya di ibu pejabat Geneva berikutan pemotongan dana dari Amerika Syarikat (AS).
Ketua WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pasukan pengurusan baharu yang terdiri daripada enam anggota akan mula berkuat kuasa pada 16 Jun, berbanding 11 anggota sebelum ini.
Dalam perkembangan sama, dua tokoh penting WHO dalam usaha melawan COVID-19 iaitu Pengarah Kecemasan Mike Ryan dari Ireland dan Bruce Aylward dari Kanada yang mengetuai inisiatif liputan kesihatan sejagat akan meninggalkan organisasi itu.
Selain itu, lima anggota pengurusan sedia ada kekal termasuk Jeremy Farrar dari United Kingdom yang dilantik sebagai Penolong Pengarah Am WHO bagi promosi kesihatan serta pencegahan dan kawalan penyakit.
Beliau akan menyerahkan jawatan Ketua Saintis kepada Dr. Sylvie Briand dari Perancis yang mengetuai Jabatan Penyakit Wabak dan Pandemik WHO.
Pemotongan dana AS menyebabkan WHO berdepan kekurangan bajet beratus juta dolar dan perlu mengurangkan operasi serta jumlah pekerja, terutama di ibu pejabat Geneva.
AS merupakan penderma terbesar WHO dengan sumbangan sebanyak AS$1.3 bilion bagi bajet 2022 hingga 2023.
Dr. Tedros mengesahkan WHO menghadapi kekurangan dana antara AS$560 juta hingga AS$650 juta bagi 2026 hingga 2027.
Isu pemotongan bajet itu dijangka menjadi perbincangan utama pada mesyuarat tahunan pengambilan keputusan WHO yang bakal berlangsung minggu depan.- AFP