MIAMI, 28 Januari- Kemunculan model AI kos rendah dari China, DeepSeek, merupakan satu "amaran" kepada firma AS selepas kemunculannya menyebabkan kejatuhan dalam saham teknologi, kata Presiden Donald Trump.
"Semoga pelancaran DeepSeek AI oleh sebuah syarikat China menjadi amaran kepada industri kita bahawa kita perlu memberi tumpuan sepenuhnya untuk bersaing dan menang," kata Trump semasa bercakap di pertemuan Kongres Republikan di Miami.
Namun, Trump juga berkata kejutan itu boleh menjadi perkara positif untuk Silicon Valley dengan memaksa syarikat-syarikatnya berinovasi pada kos yang lebih rendah.
"Saya rasa ini boleh menjadi satu perkara yang positif," kata Trump.
"Jadi, daripada membelanjakan berbilion-bilion dolar, anda akan berbelanja lebih sedikit dan diharap dapat menghasilkan penyelesaian yang sama", jelasnya.
Kenyataan Trump itu dibuat selepas syarikat pembuat cip AS, Nvidia, yang semikonduktornya menggerakkan industri AI, mengetuai kejatuhan saham teknologi, kehilangan hampir $600 bilion dalam nilai pasaran.
Chatbot yang dibangunkan oleh DeepSeek, sebuah syarikat permulaan yang berpangkalan di bandar Hangzhou, timur China, dilaporkan mampu menandingi keupayaan peneraju AI di AS dengan kos pelaburan yang jauh lebih rendah berbanding syarikat-syarikat Amerika.
Hanya minggu lalu selepas pelantikan semula untuk penggal kedua, Trump mengumumkan pelaburan AS$500 bilion untuk membangunkan infrastruktur AI di Amerika Syarikat, yang akan diterajui oleh gergasi Jepun SoftBank dan pembuat ChatGPT, OpenAI.-AFP.
BERITA BERKAITAN: