LONDON, 28 Januari- Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, bersama Menteri Kewangan, Rachel Reeves akan bertemu pemimpin perniagaan pada Selasa untuk mengumumkan reformasi sektor pencen, yang diharapkan dapat merangsang pertumbuhan ekonomi dan pelaburan.
Menurut kenyataan kerajaan, Starmer dan Reeves dijadualkan mengadakan pertemuan di pusat kewangan bersejarah London bersama beberapa ketua eksekutif terkemuka termasuk Charlie Nunn (Lloyds Banking Group), Allison Kirkby (BT), Ken Murphy (Tesco) dan Charles Woodburn (BAE Systems).
Dalam pertemuan tersebut, mereka akan mengumumkan rancangan untuk membolehkan lebihan dana pencen korporat, yang dianggarkan bernilai lebih daripada 100 bilion pound (RM621 bilion), digunakan semula dan dilaburkan kembali.
"Untuk mencapai perubahan yang diperlukan oleh negara kita, memerlukan pembaharuan kreatif, penghapusan halangan, dan fokus yang tidak berbelah bahagi," kata Starmer dalam satu kenyataan sebelum pertemuan itu.
Pertemuan tersebut diadakan sebelum ucapan utama Reeves pada Rabu, di mana beliau dijangka menggariskan pelan untuk memulihkan ekonomi Britain yang mendatar.
Ucapan Reeves amat dinantikan selepas peningkatan kos pinjaman global awal bulan ini, menunjukkan ketatnya kewangan awam Britain.
Situasi itu mencetuskan spekulasi bahawa Reeves mungkin terpaksa mengurangkan perbelanjaan atau menaikkan cukai untuk mematuhi peraturan kendiri parti mengenai had pinjaman.
Starmer dan Reeves sebelum ini berjanji kepada pengundi menjelang pilihan raya Julai lalu untuk menjadikan Britain sebagai ekonomi dengan pertumbuhan terpantas dalam kumpulan negara G7.
Namun, sejak Parti Buruh mengambil alih pentadbiran, ekonomi negara itu kehilangan momentum, dengan banyak majikan menyalahkan belanjawan pertama Reeves yang termasuk peningkatan beban cukai ke atas perniagaan.
Rancangan baharu itu akan membolehkan lebihan dana pencen dilaburkan semula ke dalam syarikat atau digunakan untuk menawarkan faedah pekerja yang lebih baik, berbanding disimpan dalam aset yang lebih selamat tetapi dengan pulangan rendah seperti bon kerajaan.- REUTERS