NEW DELHI, 28 Januari- India dan China secara prinsipal bersetuju untuk menyambung semula penerbangan terus antara kedua-dua negara.
Penyambungan semula itu selepas hampir lima tahun pandemik COVID-19 melanda dunia dan ketegangan politik antara kedua-dua negara seterusnya membawa kepada pemberhentian penerbangan.
Pengumuman itu dibuat selepas lawatan Setiausaha Kementerian Luar India Vikram Misri ke Beijing.
Perkara itu dilihat sebagai kerjasama terbaharu dalam memperbaik hubungan dingin antara India-China.
Dalam pada itu Kementerian Luar India dalam satu kenyataan memaklumkan, lawatan berkenaan "pada dasarnya bersetuju untuk menyambung semula perkhidmatan udara secara terus antara kedua-dua negara".
"Pihak berkuasa teknikal berkaitan akan bertemu dan merundingkan rangka kerja untuk tujuan ini pada tarikh awal," katanya.
Kedua-dua pihak juga komited bekerjasama dalam diplomasi untuk "memulihkan kepercayaan dan keyakinan bersama" dan untuk menyelesaikan isu perdagangan dan ekonomi yang tertangguh, tambah kenyataan itu.
Sebelum COVID-19, kira-kira 500 penerbangan beroperasi secara terus dalam tempoh sebulan antara China dan India.
Bagaimanapun Kementerian Luar China tidak menyebut mengenai penyambungan semula penerbangan tetapi berkata kedua-dua negara berusaha untuk memperbaik hubungan diplomatik sejak tahun lepas.
"Peningkatan dan pembangunan hubungan China-India adalah selaras dengan kepentingan asas kedua-dua negara," menurut kenyataan Kementerian Luar China.
Penerbangan antara kedua-dua negara dihentikan pada awal tahun 2020 iaitu pada permulaan COVID-19 melanda dunia.
Perkhidmatan ke Hong Kong akhirnya disambung semula apabila krisis kesihatan awam semakin berkurang, namun penerbangan tidak dilakukan ke tanah besar China.
Konflik kedua-dua negara tercetus apabila sekurang-kurangnya 20 askar India dan empat askar China terbunuh dalam pertempuran di kawasan sempadan.
Kesan insiden itu India menyekat syarikat China daripada melabur dalam sektor ekonomi kritikal, larangan ke atas ratusan aplikasi permainan dan e-dagang termasuk TikTok.
Namun pada Oktober lalu Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri India Narendra Modi telah mengadakan satu pertemuan.
Lawatan Misri ke Beijing dilakukan beberapa minggu selepas lawatan diplomatik oleh Penasihat Keselamatan India Ajit Doval, sekutu birokrasi utama Modi.- AFP
India-China secara prinsipal setuju sambung penerbangan
