fb fb fb fb fb

Serbuan di Jenin, lebih 15 rakyat Palestin dibunuh

Foto AFP

JENIN, 28 Februari-Tentera Israel telah "menghapuskan lebih 15 rakyat Palestin dan menangkap 40 orang yang dikehendaki dalam serbuan besar-besaran yang bermula minggu lalu di bandar Jenin, Tebing Barat yang diduduki.

Serbuan itu bermula dua hari selepas gencatan senjata dilaksanakan di Gaza, bertujuan untuk menamatkan lebih daripada 15 bulan perang antara Israel dan Hamas yang telah memusnahkan wilayah pantai Palestin.

Tentera itu dalam satu kenyataan menyatakan bahawa semasa operasi di Jenin, pasukan mereka merampas puluhan senjata dan "menemui alat letupan yang disembunyikan dalam sebuah mesin basuh di salah satu bangunan di Jenin".

Askar-askar Israel turut memusnahkan puluhan bahan letupan yang ditanam di bawah jalan bertujuan menyerang pasukan tentera, tambah kenyataan itu.

Disokong oleh jentolak dan pesawat perang, tentera Israel melancarkan operasi "Iron Wall" di Jenin dan kem pelarian yang berdekatan, yang sering menjadi kubu kuat pejuang yang disasarkan dalam serbuan Israel.

Imej AFP pada Isnin menunjukkan tentera Israel masih berada di kawasan itu, dengan asap hitam kelihatan berkepul dari kem tersebut.

Salim al-Saadi, ahli jawatankuasa pengurusan kem Jenin, memberitahu AFP bahawa 80 peratus penduduknya telah melarikan diri sejak serbuan bermula.

Agensi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin, UNRWA, menyatakan di laman sesawangnya bahawa lebih 24,000 pelarian telah didaftarkan di kem itu pada tahun 2023, walaupun jumlah sebenar populasi tidak diketahui.

Gambar AFP pada Khamis menunjukkan barisan wanita, lelaki, dan kanak-kanak keluar dari kem tersebut, beberapa daripadanya membawa barang-barang mereka dalam beg, diiringi ambulans Bulan Sabit Merah Palestin.

Beberapa pegawai Palestin melaporkan bahawa Israel telah mengarahkan penduduk untuk meninggalkan kem tersebut, tetapi dinafikan oleh tentera Israel.

Kementerian kesihatan Palestin sebelum ini melaporkan bahawa operasi Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin dan mencederakan 40 lagi di sekitar Jenin.

Keganasan telah meningkat di seluruh Tebing Barat sejak perang antara Hamas dan Israel tercetus di Gaza pada 7 Oktober 2023.

Tentera atau peneroka Israel telah membunuh lebih daripada 860 rakyat Palestin di Tebing Barat sejak bermulanya perang Gaza, menurut kementerian kesihatan.

Sekurang-kurangnya 29 rakyat Israel telah terbunuh dalam serangan Palestin atau semasa serbuan tentera Israel di wilayah itu dalam tempoh yang sama, menurut angka rasmi Israel.

Israel telah menduduki Tebing Barat sejak tahun 1967.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD