GENEVA, 8 Ogos – Pertubuhan bantuan perubatan antarabangsa, Doctors Without Borders (MSF), mengecam keras tahap keganasan terhadap orang awam di pusat agihan bantuan yang disokong Israel di Gaza.
Tindakan itu disifatkan sebagai antara insiden paling buruk yang pernah disaksikan dalam sejarah 54 tahun operasi mereka.
Memetik laporan Anadolu Ajansi, perkara itu didedah menerusi satu laporan bertajuk 'Ini Bukan Bantuan. Ini Pembunuhan Terancang' diterbitkan pertubuhan itu.
Menerusi laporan tersebut, MSF mendedahkan insiden menembak ke arah orang awam yang sedang beratur mendapatkan makanan, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun yang cedera di dada dan seorang kanak-kanak lelaki 12 tahun yang terkena tembakan di perut.
Kedua-duanya dirawat di klinik MSF berhampiran pusat agihan yang dikendalikan Gaza Humanitarian Foundation (GHF).
MSF menyifatkan keadaan di pusat tersebut sebagai 'tidak berperikemanusiaan dan membimbangkan', dengan keganasan bersifat menyasarkan dan membuta tuli terhadap orang awam tidak bersenjata.
Antara 7 Jun hingga 24 Julai, seramai 1,380 mangsa dihantar ke dua klinik MSF dengan 28 daripadanya disahkan meninggal dunia.
Daripada jumlah itu, 71 mangsa adalah bawah umur, termasuk 25 berusia bawah 15 tahun.
Sementara itu, dalam tempoh 27 Julai hingga 3 Ogos pula, lebih 185 mangsa cedera dibawa dari kawasan berhampiran pusat agihan GHF, dengan luka tembakan di leher dan kepala.
MSF menggesa agar operasi agihan bantuan oleh GHF dihentikan segera dan tidak mahu pembunuhan terhadap orang awam yang hanya mahu mendapatkan bantuan asas berterusan.
Ketua Pengarah MSF, Raquel Ayora berkata, sepanjang hampir 54 tahun operasi, apa yang berlaku di Gaza adalah keganasan sistematik terhadap orang awam tidak bersenjata.