BAGHDAD, 2 Oktober – Kebakaran yang mengorbankan lebih 100 orang dalam satu majlis perkahwinan di utara Iraq berpunca daripada kecuaian serius dan kelemahan langkah-langkah keselamatan, demikian menurut hasil siasatan oleh kerajaan.
Keputusan siasatan yang diumumkan pada sidang akhbar pada Ahad oleh Menteri Dalam Negeri, Abdul Amir Al-Shammari berkata pemilik dewan itu dan tiga kakitangan lain telah membenarkan 900 orang masuk ke tempat itu apabila ia direka untuk maksimum 400 orang.
“Kebakaran tidak disengajakan itu berlaku kerana kecuaian yang serius. Menggunakan perhiasan mudah terbakar membantu api merebak yang mengubah dewan majlis menjadi bebola api,” kata Shammari.
Tambah Shammari, api memerangkap tetamu di dalam dewan dan pasukan penyelamat sukar menyelamatkan mereka kerana hanya terdapat beberapa pintu kecil.
Sekurang-kurangnya 150 orang turut cedera akibat melecur, terhidu asap dan akibat dipijak ketika cuba melarikan diri.
Kebakaran berlaku di sebuah dewan yang menampung sebilangan besar tetamu majlis perkahwinan pada Selasa minggu lalu di bandar Hamdaniya, juga dikenali sebagai Qaraqosh, dalam wilayah Ninevah, utara Iraq.
Siasatan sama turut mengesyorkan tindakan undang-undang diambil terhadap beberapa pegawai tempatan.
Sekurang-kurangnya 14 orang, termasuk pemilik dewan, 10 pekerja dan tiga orang yang disyaki membakar bunga api telah ditahan pihak berkuasa.-REUTERS