LOS ANGELES, 14 Januari – Sembilan individu telah didakwa atas kesalahan jenayah berkaitan kecurian di zon pemindahan akibat kebakaran besar yang melanda Los Angeles, menurut Pendakwa Raya Daerah Los Angeles County, Nathan Hochman.
Antara dakwaan termasuk kes pecah rumah yang melibatkan kerugian $200,000 (kira-kira RM900,000) dan trofi Anugerah berprestij Emmy turut dicuri.
Trofi Anugerah Emmy adalah anugerah berprestij yang diberikan untuk mengiktiraf kecemerlangan dalam industri televisyen. Ia meliputi pelbagai kategori seperti drama, komedi, dokumentari, program berita, animasi, dan lain-lain.
Salah seorang tertuduh, Martrell Peoples, menghadapi kemungkinan hukuman penjara seumur hidup di bawah undang-undang "tiga kali serangan" (three-strike rule).
“Persoalannya bukan jika anda akan ditangkap, tetapi bila,” tegas Hochman, memberi amaran kepada individu lain yang cuba mengambil kesempatan.
Angka Pemindahan dan Kes Jenayah
Setakat ini, seramai 92,000 orang diarah berpindah selepas tujuh hari berturut-turut kebakaran merebak dengan pantas yang meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa.
Bencana alam paling dahsyat dalam sejarah Amerika Syarikat itu telah memusnahkan 12,000 struktur di kawasan terjejas.
Zon pemindahan telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan harta benda mangsa.
Namun, jumlah tangkapan terus meningkat.
Pada Isnin, pertuduhan pertama terhadap dua suspek yang dikesan melalui rakaman kamera pintu di kawasan mewah Mandeville Canyon yang yang terjejas kerana kebakaran.
Seorang lagi lelaki ditahan atas kesalahan langgar lari semasa polis memburu dalang kes pecah rumah tersebut.
Di Altadena, enam suspek lain didakwa atas pelbagai kes pecah rumah, termasuk kecurian trofi Emmy.
Bagaimanapun, pemilik trofi tersebut belum dikenal pasti.
Blake Chow, dari Jabatan Polis Los Angeles, menegaskan bahawa kerjasama antara agensi penguatkuasa undang-undang sedang dipergiatkan untuk menangani jenayah dalam keadaan yang sukar ini. - AFP