fb fb fb fb fb

Kebakaran kelab malam di Bangkok, akibatkan 13 pengunjung maut

FOTO SUMBER FACEBOOK

BANGKOK, 5 Ogos- Sekurang-kurangnya 13 maut manakala 40 lagi cedera dalam satu kebakaran di sebuah kelab malam Thai awal pagi tadi.

Kebakaran berlaku kira-kira 1:00 pagi di pusat hiburan Mountain B di daerah Sattahip di wilayah Chonburi, kira-kira 150 kilometer ke selatan Bangkok, menurut seorang pegawai dari Yayasan Penyelamat Sawang Rojanathammasathan.

Rakaman video yang disiarkan oleh pasukan penyelamat menunjukkan orang ramai melarikan diri dari kelab itu menjerit, dengan pakaian mereka terbakar, ketika api sedang marak.

Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran selepas kira-kira tiga jam.

Kebimbangan telah lama dibangkitkan mengenai pendekatan lemah Thailand terhadap kesihatan dan keselamatan, terutamanya di bar dan kelab malam yang tidak terhitung jumlahnya.

Pada 2009, kebakaran besar-besaran meletus pada pesta Malam Tahun Baru di kelab popular, Santika di Bangkok membunuh 67 orang dan mencederakan lebih 200 pengunjung.

Pemilik Santika itu dipenjarakan selama tiga tahun atas kebakaran tersebut, yang dikatakan berpunca daripada bunga api yang dilepaskan ketika kumpulan rock bernama Burn beraksi di atas pentas.

Manakala pada 2012, empat orang maut dalam kebakaran yang disebabkan oleh kerosakan elektrik di sebuah kelab di pulau percutian Phuket.- AFP


(Tangkap layar video kebakaran di kelab malam Mountain B yang mengorbankan 13 nyawa)

Media Baharu