fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan, ribuan diarahkan pindah di Los Angeles

Foto AFP

CAMARILLO, 8 November - Beribu-ribu orang telah diarahkan untuk berpindah akibat kebakaran hutan yang tidak terkawal di kawasan komuniti berhampiran Los Angeles pada Khamis, dengan puluhan rumah musnah ekoran kebakaran yang merebak pantas.

Tiupan angin kencang menyebabkan bara api berterbangan sejauh tiga batu (lima kilometer) dari punca kebakaran di sekitar Camarillo, mencetuskan kebakaran baharu di lereng bukit, ladang, dan kawasan perumahan.

Kebakaran yang dikenali sebagai "Mountain Fire" itu merebak pantas sejak awal pagi Rabu dan menjelang Khamis telah membakar 20,485 ekar (8,290 hektar), dengan api menjulang tinggi yang merebak secara tidak menentu, memaksa penduduk melarikan diri dengan tergesa-gesa.

Menurut pihak berkuasa, setakat ini kebakaran hanya berjaya dikawal lima peratus setakat petang Khamis, namun corak angin dijangka memberi kelebihan kepada pasukan bomba sepanjang malam.

“Kami berjaga sepanjang malam memerhatikan kebakaran ini. Saya tidak tidur,” kata Erica Preciado kepada penyiar tempatan semasa memandu keluarganya keluar dari kawasan bahaya.

“Kami hanya cuba mencari tempat yang selamat. Saya pun tak tahu apa yang patut dibawa. Segala-galanya ada dalam kereta,” ujarnya sambil menitiskan air mata dan menunjukkan kenderaan yang sarat dengan barangan.

Pihak berkuasa berkata, berdasarkan pemeriksaan awal, sekurang-kurangnya 132 rumah telah musnah sepenuhnya, sementara 88 lagi mengalami kerosakan akibat kebakaran.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN