MONTREAL, 19 Mei- Penduduk yang melarikan diri daripada kebakaran hutan yang mengancam wilayah hab pengeluar minyak Kanada dibenarkan pulang ke rumah pada Sabtu selepas perintah pemindahan ditarik balik.
"Kami amat berbesar hati kerana dapat mengalu-alukan orang ramai pulang dan meminta mereka kembali ke rumah dengan selamat," kata Datuk Bandar Fort McMurray Sandy Bowman sambil mengucapkan terima kasih kepada lebih 6,000 penduduk yang telah diarah keluar atas 'kesabaran, keazaman dan kekuatan' mereka.
Hujan telah mengurangkan kemaraan kebakaran hutan di wilayah Alberta di barat Kanada dan pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengelak ia terus marak,"menurut kenyataan oleh Sandy Bowman.
Bagaimanapun, lebih 19,000 hektar (47,000 ekar) terus terbakar di luar kawalan, kata anggota bomba Alberta dalam kemas kini pagi Sabtu.
Arahan pemindahan untuk penduduk Fort McMurray dibuat pada hari Selasa ketika api yang merebak dengan pantas menghampiri bandar itu.
Pada 2016, bandar itu turut dilanda kebakaran yang menyebabkan 90,000 orang dipindahkan, dalam malapetaka besar yang menyaksikan 2,500 bangunan musnah dan mencatatkan berbilion dolar nilai kerosakan.
Pihak berkuasa Kanada telah bersiap sedia menghadapi kemungkinan satu lagi musim kebakaran hutan yang dahsyat, selepas tahun lalu yang paling teruk pernah berlaku di negara itu menyaksikan kebakaran dari pantai ke pantai, memusnahkan lebih 15 juta hektar tanah.
rekod terkini menunjukkan 114 kebakaran aktif setakat petang Sabtu, termasuk 42 di Alberta dan 40 di British Columbia.-AFP