fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di pulau Gran Canaria, Sepanyol terkawal

FOTO REUTERS

SANTA CRUZ DE TENERIFE, 27 Julai- Ketua perkhidmatan kecemasan tempatan, Federico Grillo memaklumkan bahawa anggota bomba telah berjaya memadamkan kebakaran hutan yang memusnahkan kira-kira 400 hektar kawasan di tengah pulau Sepanyol, Gran Canaria.

Pihak berkuasa mengisytiharkan kejayaan itu pada 12.42 pagi waktu tempatan, selepas insiden itu memaksa pemindahan ratusan penduduk kampung dari rumah mereka serta puluhan kanak-kanak dari tapak perkhemahan berhampiran puncak gunung.

Tiga jalan ditutup manakala perkhidmatan kecemasan mengerahkan sembilan pesawat dan 250 anggota bomba untuk mengawal kebakaran.

"Malangnya, sebuah rumah telah terbakar di Pico de las Nieves. Tiada kecederaan dilaporkan," kata Grillo pada platform media sosial X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.

Sejak Rabu, pihak berkuasa telah membenarkan penduduk pulang ke rumah mereka untuk memeriksa kemungkinan kerosakan dan menjaga haiwan peliharaan mereka, diiringi pegawai keselamatan.

Terdahulu pada bulan Julai, 4,000 orang telah dipindahkan dari rumah mereka di pulau La Palma, berhampiran Gran Canaria, ketika kebakaran hutan terbakar di luar kawalan manakala negara-negara di seluruh Eropah telah bergelut untuk menghadapi kebakaran hutan di tengah-tengah gelombang panas.- REUTERS


(FOTO REUTERS)

Media Baharu