(FOTO AFP)
MADRID, 16 Julai- Lebih 2,500 orang dari La Palma di Kepulauan Canary dipindahkan susulan berlaku kebakaran sehingga telah memusnahkan 4,500 hektar tanah.
Kira-kira 300 anggota bomba di lapangan sedang berusaha untuk mengawal kebakaran dengan dibantu dengan pesawat pemadam kebakaran.
“Api merebak dengan cepat,” kata Fernando Clavijo, presiden kerajaan wilayah Kepulauan Canary.
Dia menyalahkan "angin, keadaan iklim serta gelombang panas yang lalui" menyebabkan kebakaran itu merebak dengan pantas.
"Ia adalah api yang telah mengumpulkan kekuatan dalam masa yang sangat singkat," kata Menteri Pelancongan Hector Gomez kepada pemberita.
Ketua Majlis La Palma, Sergio Rodriguez, dan pihak berkuasa utama pulau itu, menyeru orang ramai supaya mematuhi arahan untuk berpindah bagi membolehkan perkhidmatan kecemasan berfungsi dengan lebih mudah.
Menurut kenyataan pegawai tempatan, kebakaran berlaku pada sebelah pagi di daerah Puntagorda sebelum merebak dengan cepat.
(FOTO AFP)
Datuk Bandar Tijarafe, Marcos Lorenzo, memberitahu televisyen TVE bahawa pemindahan tidak melibatkan semua bandar.
Menurut data Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS), Sepanyol mengalami hampir 500 kebakaran hutan pada 2022, yang memusnahkan lebih 300,000 hektar iaitu angka terburuk di Eropah.
Setakat tahun ini, menurut data terbaru EFFIS, ia telah kehilangan 66,000 hektar tanah lagi.
Keadaan ini lebih membimbangkan di negara yang telah dilanda teruk oleh kesan perubahan iklim, dengan siri gelombang panas yang menghancurkan serta hujan yang semakin berkurangan.
Agensi meteorologi negara juga mencatatkan rekod tertinggi semasa cuaca panas luar biasa di tanah besar Sepanyol.
Kepulauan Canary Sepanyol terletak di luar pantai barat laut Afrika.- AFP