fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di Korea Selatan, 300 penduduk dipindahkan

(Penduduk melihat bangunan yang hangus terbakar di Gangneung, Korea Selatan/ REUTERS)

SEOUL, 11 April- Kira-kira 300 orang dipindahkan dari rumah mereka di bandar pantai timur Korea Selatan, Gangneung, ketika angin kencang dan cuaca kering mencetuskan kebakaran hari ini, kata pegawai.

Anggota bomba bertungkus-lumus mengawal kebakaran yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi waktu tempatan di Gangneung, dengan pesawat pengebom air tidak dapat berlepas disebabkan keadaan angin.

Gabenor Wilayah Gangwon, Kim Jin-tae, berkata kebakaran memusnahkan lebih 170 hektar tanah dan menyebabkan kira-kira 300 penduduk di bandar yang mempunyai lebih 200,000 orang itu berpindah, setakat jam 1 tengah hari.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan akibat bencana itu setakat ini.

Jin-tae berkata, kebakaran dipercayai bermula selepas angin kencang meniup sebatang pokok yang menimpa kabel kuasa elektrik lalu mencetuskan api. -

Gambar dan rakaman yang tersebar di media sosial menunjukkan kebakaran memusnahkan hutan dan ladang serta bangunan yang diselubungi asap.


(Asap mengepul akibat kebakaran hutan di Gangneung, Korea Selatan/ REUTERS)

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol mengarahkan pegawai mengerahkan semua sumber yang ada untuk memadamkan kebakaran secepat mungkin dan segera memindahkan penduduk berhampiran untuk mengurangkan kemalangan jiwa, kata pejabatnya. - REUTERS

Media Baharu