VIÑA DEL MAR, 4 Februari- Kebakaran hutan yang marak di seluruh Chile setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 46 orang, menyebabkan mayat di jalan dan rumah musnah ketika api terus merebak.
Presiden, Gabriel Boric turut memberi amaran bahawa jumlah kematian itu mungkin terus meningkat dengan menetapkan keadaan darurat di bahagian tengah dan selatan negara itu kerana keadaan kering dan suhu mencecah 40 darjah Celsius, memburukkan lagi krisis.
Boric, yang menyampaikan maklumat keadaan terkini, berkata 40 orang terbunuh dalam kebakaran itu dan enam lagi meninggal dunia akibat melecur di hospital.
"Berdasarkan keadaan tragedi itu, jumlah mangsa dijangka terus meningkat dalam tempoh beberapa jam akan datang. Keadaan ini benar-benar sangat sukar," katanya.
Asap hitam menyelubungi langit di bahagian wilayah Valparaiso, menempatkan hampir sejuta penduduk di tengah Chile, manakala anggota bomba terus bergelut memadamkan kebakaran menggunakan helikopter dan trak.
Menurut pihak berkuasa Chile, kawasan sekitar bandar pelancongan pantai Vina del Mar antara lokasi paling teruk terjejas dan pasukan penyelamat sedang bergelut untuk tiba ke semua kawasan terjejas.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Carolina Toha, berkata di seluruh negara terdapat 92 kebakaran aktif yang menyebabkan lebih 43,000 hektar hutan terjejas akibat tragedi itu, dengan angka korban ketika itu seramai 19 orang.
Kebakaran hutan bukanlah tragedi luar biasa di Chile terutama ketika bulan-bulan musim panas.
Tahun lalu, susulan gelombang haba mencatat rekod, kira-kira 27 orang maut dan lebih 400,000 hektar hutan terjejas.
"Kawasan kebakaran hari ini jauh lebih kecil berbanding tahun lalu (tetapi) pada masa ini, keluasan hutan yang terjejas meningkat dengan sangat pantas," katanya.
Dalam tempoh dua hari lalu, kebakaran hutan memusnahkan antara 30,000 kepada 43,000 hektar hutan.
Toha berkata, kebimbangan terbesar pihak berkuasa ialah beberapa kebakaran aktif berkembang sangat dekat dengan kawasan bandar mempunyai potensi sangat tinggi untuk menjejaskan orang ramai, rumah dan kemudahan.
Kebakaran itu didorong oleh gelombang panas dan kemarau yang menjejaskan bahagian selatan Amerika Selatan, yang disebabkan fenomena cuaca El Nino.
Saintis sebelum ini memberi amaran bumi semakin panas, sekali gus meningkatkan risiko bencana alam seperti panas terik dan kebakaran.
Ketika Chile dan Colombia bergelut dengan peningkatan suhu, gelombang haba juga mengancam untuk melanda Argentina, Paraguay dan Brazil dalam tempoh beberapa hari lagi. - AFP