fb fb fb fb fb

Belum ada perjanjian mengenai gencatan senjata di Gaza- Hamas

Israel telah melancarkan serangan udara, darat dan laut yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya 27,238 orang terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak/ AFP

BEIRUT, 4 Februari- Seorang pegawai kanan Hamas berkata semalam bahawa persetujuan muktamad masih belum dicapai berhubung perjanjian gencatan senjata sementara dengan Israel untuk menghentikan perang hampir empat bulan di Gaza.

Pegawai tertinggi Hamas di Lubnan,Osama Hamdan berkata pemimpin Hamas sedang mengkaji rangka kerja yang dicadangkan oleh pegawai tinggi dari Israel, Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat.

Beliau memberitahu dalam sidang akhbar bahawa Hamas telah berulang kali menyatakan keterbukaan mereka untuk membincangkan sebarang inisiatif bagi menamatkan pencerobohan biadab ini terhadap rakyat Palestin.

Namun Hamdan berkata ketika kumpulannya telah menerima cadangan gencatan senjata yang dirangka oleh pengantara di Paris, persetujuan masih belum dicapai dan rancangan itu kehilangan beberapa butiran.

"Kami akan mengumumkan kedudukan kami" tidak lama lagi, "berdasarkan... keinginan kami untuk menamatkan pencerobohan secepat mungkin yang rakyat kami alami," tambahnya.

Sumber Hamas berkata cadangan gencatan senjata tiga peringkat semasa, termasuk jeda awal selama enam minggu dalam pertempuran yang akan menyaksikan beberapa tebusan dibebaskan untuk tahanan Palestin, dengan kemungkinan dilanjutkan.

Hamas menuntut gencatan senjata total sebelum sebarang perjanjian, juga mengecam “kempen disinformasi Israel” yang bertujuan untuk “menyelewengkan” kedudukan Hamas.

Israel telah “menolak semua inisiatif yang dibuat setakat ini... untuk meneruskan pencerobohan”, kata Hamdan.

Beliau turut mengecam keputusan beberapa negara untuk menggantung pembiayaan untuk agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) kerana dianggap penglibatan segelintir pekerjanya dalam serangan 7 Oktober.

Ia disifatkan sebagai "langkah tidak bertanggungjawab berdasarkan pembohongan Zionis dan hukuman kolektif."

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dijadual akan ke Timur Tengah sekali lagi dalam beberapa hari akan datang untuk mendesak perjanjian, kata Jabatan Negara.

Israel melancarkan serangan udara, darat, laut tanpa henti di Semenanjung Gaza susulan serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu.

Dalam serangan balas Israel, sekurang-kurangnya 27,238 orang maut setakat ini kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.-AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI