fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di California paksa pemindahan, musnahkan kawasan bersejarah

Foto Reuters

CALIFORNIA, 4 September- Kebakaran hutan akibat panahan kilat terus marak di beberapa kawasan di dua daerah Utara California pada Rabu.

Situasi itu memaksa pemindahan besar-besaran serta memusnahkan sebahagian kawasan bersejarah bekas penempatan era Gold Rush yang pernah dihuni ribuan imigran Cina.

Menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (CalFire), hampir 20 kebakaran berasingan yang tercetus sejak Selasa telah memusnahkan lebih 13,000 ekar kawasan padang rumput kering, belukar dan hutan, dengan keadaan bertambah buruk akibat tiupan angin kencang.

Perkampungan terpencil Chinese Camp, yang kini hanya mempunyai kurang daripada 100 penduduk, antara yang paling teruk terjejas.

Wartawan Reuters di lokasi melaporkan, puluhan rumah di dalam dan sekitar pekan tersebut musnah dijilat api.

Chinese Camp sebelum ini merupakan penempatan perlombongan era Gold Rush yang dibangunkan ribuan buruh Cina pada abad ke-19.

Keseluruhan pekan berkenaan serta beberapa komuniti lain di daerah Tuolumne dan Calaveras masih diletakkan di bawah arahan pemindahan.

Lebih 600 anggota bomba dikerahkan bagi memadamkan kebakaran berkenaan.

Setakat ini, jumlah kerosakan harta benda dan bilangan mangsa yang dipindahkan masih belum dapat dipastikan sepenuhnya.

Bagaimanapun, tiada laporan korban jiwa diterima. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM