fb fb fb fb fb

Kebakaran hutan di barat Sepanyol, 550 penduduk dipindahkan

(FOTO REUTERS)

MADRID, 19 Mei-Kebakaran hutan di barat Sepanyol, Extremadura telah merebak dan memusnahkan 3,700 ekar kawasan dan memaksa kira-kira 500 penduduk meninggalkan kediaman.

Keadaan cuaca yang berangin menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk mengawal kebakaran kata perkhidmatan kecemasan pada Jumaat.

"Tiupan angin yang kuat menyukarkan usaha pemadaman", kata Komander pasukan tentera unit kecemasan, David Barona kepada stesen televisyen, Channel 24H.

" Kepulan asap yang merebak sangat cepat pada altitud rendah menyukarkan aset udara untuk masuk ke kawasan berkenaan", kata Barona lagi.

Seramai 250 orang anggota bomba dikerahkan bagi aktiviti pemadaman api di sebuah kawasan, Pinofranqueado yang terletak di wilayah Caceres berhampiran sempadan Portugal.

Pihak berkuasa Sepanyol telah mengarahkan pemindahan penduduk seramai 550 orang di beberapa perkampungan seperti Cadalso, Descargamaría dan Robledillo de Gata.

Pihak berkuasa percaya kebakaran tersebut dimulakan dengan sengaja.

"Ia merupakan serangan yang sangat besar terhadap tumbuh-tumbuhan dan kawasan itu," kata ketua perkhidmatan kecemasan Extremadura Nieves Villar kepada pemberita.

Musim kering dan sejuk yang luar biasa serta kekurangan taburan hujan di Sepanyol selepas tiga tahun meningkatkan risiko kebakaran hutan.

Tahun lalu, kira-kira 493 kebakaran direkodkan memusnahkan 307,000 ekar tanah di negara berkenaan menurut Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah.-REUTERS

 


(FOTO REUTERS)

Media Baharu